Headlines News :

Moto 360: Jam tangan pelbagai fungsi

Menerima aplikasi Facebook, Messenger atau Pinterest pada jam tangan? Pasti menarik kerana gajet pintar ini sama seperti aplikasi telefon pintar serta boleh dihubungkan dengan sistem operasi Android 4.3 atau sistem lebih canggih.

Oleh Nadia Hamid

Moto 360, bertindak balas dengan suara anda iaitu 'Ok Google' dan anda boleh menghantar sistem pesanan ringkas, set temu janji, mengkaji cuaca atau sebagai penunjuk arah.

Jam tangan berbentuk klasik iaitu bulat, menyediakan permukaan jam yang besar dan luas, memberikan anda satu kepuasan tatkala meneliti maklumat pada jam dengan selesa.

Diiringi kualiti pembuatan keluli tahan karat, Horween dan kaca corning Gorilla yang teliti, anda pasti bergaya dengan kemasan sekali gus tidak risau akan calar.

Jam digital pintar ini boleh dijadikan jam pada desktop atau meja sisi, memiliki keistimewaan bateri tahan sepanjang hari, kadar pengecasan tanpa wayar, kalis air serta dibina menggunakan pedometer (alat menganggarkan jarak seseorang berjalan kaki dengan merakamkan jumlah langkahnya).

Bagi atlet atau individu yang gemar bersukan, jam bernilai kira-kira RM840 di pasaran tempatan dilengkapi pengawasan peranti optik kadar degupan jantung.

Kepelbagaian fungsi dan persaingan sengit pembuat jam tangan pintar, produk keluaran Motorola ini boleh dilaraskan mengikut selera anda sendiri.

Sama ada memilih produk siap daripada kilang atau tukar rekaan tali jam, kemasan dan permukaan jam seperti yang anda idamkan. Ada pilihan warna stone, balck, light, dark untuk setiap kemasan.

Malu sebab kencing malam: Bantu kanak-kanak merawatnya

Oleh Siti Aishah Yusoff

SEBAHAGIAN ibu bapa pasti pernah berhadapan dengan anak yang mempunyai masalah kencing malam. Biasanya kanak-kanak dengan masalah kencing malam menjadi bahan gurauan atau usikan dalam kalangan keluarga.

Keadaan sedemikian turut memberi kesan emosi kepada kanak-kanak berkenaan berikutan mereka malu dengan masalah yang sedang dihadapi.

Kencing malam atau bedwetting ialah kencing tidak disengajakan pada waktu malam di atas tilam dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, malah dalam sesetengah kes hingga meningkat usia remaja.

Namun, tahukah anda bahawa kencing malam adalah perkara normal yang terjadi kepada kanak-kanak ketika dalam proses tumbesaran mereka.

Pakar Urologi dari Mahkota Medical Centre (MMC), Dr. Michael Cheng berkata, kencing malam dalam kalangan kanak-kanak ada sesuatu yang diwarisi.

“Tiga daripada empat kanak-kanak dengan kaitan ibu atau bapa mahupun saudara yang ada hubungan juga pernah mengalami masalah kencing malam ketika di usia kanak-kanak

“Masalah kencing malam, atau istilah perubatan noctual enuresis adalah perkara normal bagi kanak-kanak . Biasanya selepas kanak-kanak berumur lima atau enam tahun tabiat tersebut akan berhenti dengan sendiri

“Majoriti kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut juga tidak mempunyai masalah kesihatan kesan dari tabiat kencing malam,” jelasnya.

Tambahnya lagi, wujud beberapa faktor utama berkait rapat dengan masalah kencing malam.

Antaranya keturunan, kelewatan dalam mencapai tahap kematangan untuk pengawalan pundi kencing dan kurangnya penghasilan hormon anti diuretik (ADH) ketika tidur.

Dikatakan juga kanak-kanak yang mempunyai masalah kerap kencing malam disebabkan ruang pundi kencing mereka bersaiz kecil.

“Mereka yang mempunyai tidur yang nyenyak juga menyebabkan otak tidak dapat memberi isyarat bahawa pundi kencing mereka penuh.

“Keadaan ini menyebabkan pundi kencing tidak dapat mengawal perasaan ingin membuang air kecil dan menyebabkan mereka terkencing di tempat tidur pada waktu itu,” katanya.

Ujar Dr. Cheng lagi, ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah sedemikian tidak perlu terlalu risau berikutan masalah tersebut akan pulih sendiri seperti sediakala.

Secara fakta, seramai 15 orang daripada 100 kanak-kanak yang kencing malam akan berhenti dan pulih secara sendiri tanpa menggunakan rawatan.

Bagaimanapun, jika ada antara mereka yang masih mempunyai masalah tersebut walaupun usia sudah meningkat awal remaja, digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat selanjutnya

“Doktor akan bertanya beberapa soalan yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi. Mereka perlu memberikan jawapan yang jujur, tepat dan tidak malu.

“Perlu diingatkan juga masalah kencing malam adalah perkara normal yang sering dikendalikan oleh doktor kepada kanak-kanak berkaitan

“Doktor melakukan ujian dan mengambil sampel air kencing mereka. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah lain seperti sembelit, kencing pada siang hari atau jangkitan pada pundi kencing akan melalui ujian tambahan,” ujarnya.

Katanya lagi, biasanya jenis rawatan yang disarankan oleh doktor adalah rawatan yang paling berkesan untuk mengubati masalah kencing malam.

Rawatan tersebut mengajar minda untuk melakukan rutin seperti bangun daripada tidur supaya mereka pergi ke tandas atau teruskan tidur seperti biasa dan menahan air kencing sehingga waktu pagi

“Rawatan lain termasuklah melakukan senaman regangan pundi kencing dengan membiarkan masa yang lama untuk membuang air kecil pada waktu siang, membaca petua-petua berkaitan pengawalan cara membuang air kecil, atau menggunakan penggera semasa sedang tidur.

“Penggera disambungkan kepada satu lapisan diletakkan dalam pakaian dalam mereka pada waktu malam. Jika mereka mula terasa untuk kencing, deria-deria akan memberi sentuhan dan mengaktifkan penggera.

“Penggera yang berbeza akan memberikan kesan bising atau deringan atau kedua-duanya., Bagaimanapun penggera mudah untuk digunakan dan membantu mengejutkan mereka yang tidur nyenyak,” katanya

Menurut Dr. Cheng lagi, terdapat ubatan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kencing malam.

Ubat tersebut akan membantu secara berkesan tetapi bukan untuk merawati masalah kencing malam. Ia amat berkesan jika digunakan bersama-sama penggera mahupun program latihan yang berkaitan.

“Keadaan tersebut mungkin memerlukan latihan dan mengambil masa untuk melatih minda yang memerlukan kesabaran. Kesannya mereka akan berhenti daripada masalah kencing malam,” ulasnya.

Dr. Cheng turut berkongsi tip berkesan untuk membantu menangani masalah anak kencing malam.

Antara petua yang boleh dilakukan termasuklah galakkan anak membuang air kecil sebelum mereka masuk tidur,alas tempat tidur atau tilam dengan plastik bagi mengelakkan kebasahan

“Sediakan jam penggera untuk mengejutkan anak untuk membuang air kecil di tandas, lakukan senaman regangan pundi kencing bagi membantu pundi kencing mengawal dan menahan air kencing daripada terkeluar

“Kawalan melalui pengambilan ubatan dan elakkan memberi anak mengambil minuman seperti susu atau air sebelum tidur,” katanya.





























Aku Ingin Sekuat Ayah

Oleh Jelison Jupin 

Dari jauhku kelihatan pokok belunu di tepi jalan raya sehala itu seakan-akan melambai-lambaiku untuk memberhentikan kereta Toyota Hilux Vigo milikku. Aku berhenti dan keluar.T Kakiku memijak becak di tepi jalan berbatu itu. Vigo Intercooler dengan kapasiti enjin 3.0 liter milikku itu benar-benar berada di hadapan pokok belunu itu. Aku melihat-lihat sekitar, seakan-akan semua pokok-pokok itu mengenaliku dan kurasakan begitu mesra menyambutku dengan senyum dan lambaian rindu.

Aku lihat pokok belunu itu semakin membesar. Begitu juga pokok-pokok yang ada di sekitarnya. Pokok kelapa, pinang, rambutan, langsat, tarap dan durian dalit. Semuanya sudah menjadi seperti pokok kayu balak. Kiranya kalau ditebang dibuat papan beruti sudah boleh membina sebuah rumah besar. Aku mencekak pinggang sambil memerhati ke arah pokok belunu sebesar tiga pemeluk itu. Aku menggeleng-geleng. Kenangan mula mengusik hatiku. Aku kemudian duduk pada banir pokok itu. Udaranya masih seperti dulu. Nyaman dan sungguh damai. Banir itu juga semakin membesar. Bentuknya benar-benar seperti kerusi panjang yang ayah bina di anjung rumah kami dulu. Aku rasa dudukku terlalu selesa di atas banir yang dipenuhi kenangan silam itu.

Pokok itu adalah stesen pertama kami untuk berhenti berjalan kaki dari rumah. Kampungku dari situ jaraknya lebih kurang tiga batu. Tetapi jalan itu dahulu bukannya jalan batu seperti sekarang. Penuh semak dan berlumpur-lumpur. Kebanyakkan dalamnya setinggi lutut orang dewasa. Jambatan-jambatannya pula sudah roboh kerana tidak diselenggara lagi. Jalan itu sebenarmya milik sebuah syarikat balak yang pernah beroperasi di kawasan perkampungan kami.

Jalan raya itulah yang kami gunakan untuk berjalan kaki pergi atau pulang dari asrama sekolah SK Simpangan. Hanya sejalur jalan kecil yang dipenuhi tapak-tapak kaki manusia yang masih kelihatan sedikit luas. Itu pun sudah mula ditumbuhi semalu dan rumput gajah.

“Mahu minum Nanang?” Soal ayah.

“Belum hauslah ayah,” jawabku.

Waktu itu aku berusia lapan tahun. Setiap minggu aku akan pulang ke rumah. Ayah akan datang ke asrama menjemputku pulang. Aku dan ayah akan meredah bukit dan lembah hampir lima jam untuk pulang ke kampung. Aku sudah lali dengan keadaan itu dan sedikit pun tidak berasa lelah. Jauh sekali berasa penat. Sebabnya sudah setahun pada setiap seminggu aku akan berjalan kaki begitu. Ayah akan menyandang begku dan aku bebas berlari-lari meninggalkan ayah di belakang. Kadang-kadang aku terpaksa menunggu ayah sehingga sepuluh minit.

“Kamu nak makan Nanang?” Soal ayah lagi.

“Belum lagi ayah. Pagi tadikan baru sarapan,” jawabku sambil aku mencari-cari batu kecil untuk dijadikan peluru lastik getahku.

Ayah mengasah badungnya. Sudah tumpul menebas rumput gajah yang semakin menutupi jalan. Ayah kata, biar sepohon saja rumput gajah atau pokok-pokok kayu kecil yang dapat ditebasnya setiap kali melalui jalan kecil itu sudah memadai. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, katanya. Kerana untuk menghantarku ke sekolah hanya jalan itu sajalah yang boleh digunakan. Ramai juga yang menggunakan jalan itu untuk berburu, mengetah burung teripas, menjerat binatang hutan seperti pelanduk, biawak, kijang dan sebagainya.

“Nanang, duduk disini sekejap,” panggil ayah.

Aku terpaksa menamatkan aktiviti kegemaranku untuk melastik burung di dahan-dahan pokok senduduk yang banyak di sepanjang pinggir jalan. Entah berapa kali aku mengintai-ngintai tadi tapi burungnya liar dan pintar belaka. Burung-burung ini seperti orang yang masuk universiti, fikirku. Sebab kata cikgu orang yang masuk ke universiti semuanya pintar.

“Ada apa ayah?” soalku sambil melabuhkan punggung kecilku di atas banir pokok belunu itu.
Ayah melihatku. Wajahnya tenang setenang cuaca pagi itu. Matanya dipenuhi sinar kasih dan harapan. Aku sudah dapat mengagak apa yang ingin dikatakan ayah. Mesti mengingatkanku supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti.

“Kamu tahu Nanang, hidup ini bukan semudah melastik burung. Ada batu. Ada lastik getah sudah boleh pergi mengintai burung-burung mematuk jambu atau bermain-main di dahan pokok senduduk itu.” Ayah menghela nafas panjang kemudian mendengus perlahan. Aku memandang jauh ke dasar hati ayah. Aku tidak mengerti apa yang dikatakan ayah.

“Kau tahu apa tujuan kau pergi ke sekolah?” sambungnya.

“Belajar ayah,” jawabku ringkas.

“Belajar untuk apa?” soal ayah lagi sambil memandangku.

“Belajar untuk cari ilmu ayah. Supaya saya tahu membaca, tahu tulis nama sendiri, tahu mengira, tidak nakal-nakal dan berguna suatu hari nanti.” Jawapan itu adalah jawapan yang sudah diajarkan ayah semenjak aku hari pertama memasuki darjah satu, setahun lepas. Aku jelas mengingatinya. Manakan tidak kalau berhenti saja di pokok belunu itu, ayah akan menanyakan soalan yang sama kepadaku. Tapi aku tidak pernah bosan mendengar soalan serupa. Aku tahu ayah ingin mengingatkanku supaya aku lebih bersungguh-sungguh belajar di sekolah.

“Baguslah kamu tahu. Ingat, jangan cuma kau sebut di mulut. Ingat di dalam hatimu.”

“Ayah kenapa Din, Along, Acai dan Dom tidak pergi sekolah?” soalan yang sudah lamaku simpan di dalam kepalaku. “Kalau mereka ke sekolahkan bagus, saya ada kawan dari kampung.” Sambungku lagi.
“Yang itu ayah tidak pasti Nanang. Dah, mari kita berjalan lagi.” Aku cuma mengangguk bodoh.

Soalanku sama saja seperti tidak dijawab ayah.

Aku tahu ayah tahu jawapan pertanyaanku. Aku ingin juga punya kawan sekampung denganku di sekolah seperti Din, Along, Acai dan Dom. Kami boleh menimba ilmu bersama. Mandi sungai bersama. Makan di kantin bersama. Main bola bersama. Kami kalau di kampung memang sahabat sejati. Waktu petang, keluar ke mana-mana saja mesti bersama. Melastik burung, menjerat burung Wak-Wak, menjerat biawak, mengetah teripas, burung haji dan segala jenis burung yang kami suka, menjerat pelanduk, memancing ikan keli dan haruan. Kami seperti adik beradik. Tauke Achung kata, kami ini seperti lima pahlawan handal Melayu iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Aku mengenali nama-nama yang disebut oleh Tauke Achung itu, Cikguku di sekolah pernah menyebut nama-nama itu dan kami disuruh berlakon. Bercakap-cakap. Disuruh berbincang mencari teknik bagaimana menewaskan musuh. Sangat seronok. Aku menceritakan apa yang aku tahu itu kepada Din, Along, Acai dan Dom. Mereka sangat suka. Mereka ingin sekali pergi ke sekolah bersamaku. Tetapi Din kata, ayahnya selalu memarahinya kerana tahu keinginannya untuk bersekolah. Begitu juga dengan Along, Acai dan Dom.

Aku tahu ayah tahu jawapan soalanku tadi. Mungkin ayah tidak mahu melibatkanku dengan persoalan keluarga rakan-rakanku itu. Ayah pernah berkata kepadaku bahawa di kampung itu masih kurang kesedaran ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak. Mereka masih tidak tahu peri pentingnya pendidikan. Kampungku seperti juga kampung-kampung hulu yang lain, masih tidak ada ibu bapa yang pernah bersekolah. Jauh sekali tahu membaca atau menulis. Aku selalu juga mendengar ayah memberi nasihat kepada orang kampung supaya anak-anak harus dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu tetapi tidak diendahkan. Ramai berkata, kalau sekolah pun akhirnya akan kerja ladang juga, jadi orang kampung juga, kalau perempuan ke dapur juga. Ada juga yang berkata anak-anak di asrama seperti dibuang-buang, tidak cukup makan, di dalam kelas didera oleh guru dan macam-macam lagi. Aku lihat ayah cuma mengukir senyum sayu yang mungkin tidak boleh dimengerti oleh sesiapa kecuali ibu.

Ketegasan

“Walau kita susah macam mana sekali pun, anak-anak mesti diberikan pendidikan.” Begitulah ayah selalu mengingatkan ibu.

Ibu sependapat dengan ayah. Ibu kagum dengan prinsip ayah. Baginya ayah seharusnya dicontohi orang kampung. Walau hidup dalam sangkar kemiskinan dan tidak berpendidikan, ayah tahu pendidikan itu sangat penting. Ibu tidak menghalang ayah untuk menghantarku tinggal di asrama. Ibu suka melihatku sudah boleh membaca, sudah tahu menulis dan tahu mengira. Kalau Tauke Achung datang membeli jualan ibu, akulah yang menjualnya. Tauke Achung begitu kerap memujiku. Aku anak yang pintar, katanya. Pujian itu membuat ayah dan ibu tersenyum bangga padaku.

“Nang, kamu tahu ayah kamu begitu bersungguh-sungguh ingin melihat kamu berjaya dan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Dia mengambil risiko untuk bekerja sebagai tukang tumbang kayu balak untuk mencari sedikit wang sebagai perbelanjaan kamu di sekolah. Tiga empat hari tinggal di dalam hutan. Hari jumaat dan Ahad terpaksa pula mengambil dan menghantar kamu ke asrama. Berladang lagi. Bercucuk tanam lagi, Mencari lauk lagi. Ibu kesian melihat ayahmu. Ibu cuma boleh bekerja di ladang saja. Tanam ubi keledek, ubi kayu, mencambut rumput, tanam pisang dan di dapur saja. Tiada sedikit pun terbanding dengan penat lelah ayahmu.”

Aku terkadang menitiskan airmata mengenangkan cerita ibu. Tapi apa yang dapatku lakukan. Aku cuma anak kecil. Aku belum berdaya melakukan kerja-kerja berat untuk membantu ayah. Lagi pun ayah marah kalau aku mengabaikan pelajaran. Aku diberi kebebasan untuk keluar dari rumah waktu petang saja. Apa lagi pergi membantunya di ladang. Kerja di ladang ini bukan kerja anak-anak seperti aku. Duduk di rumah saja, baca buku, siapkan kerja sekolah dan jaga adik, katanya. Ketegasan ayah itu membuatku selalu bercakap dengan diriku, aku mesti berjaya suatu hari nanti. Itu impianku dan impian itu tercapai apabila sembilan tahun lepas aku berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UPM. Dan aku ditempatkan di SMK Belawai Sarikei Sarawak.

Kejayaanku itu mengalir pula kepada adik-adikku. Lima tahun lepas adik lelakiku selepas saja bergraduat dalam bidang sains sosial dengan Kepujian Geografi di UMS, dia terus diserap bekerja menjadi seorang pengurus ladang disebuah syarikat perladangan terkemuka di Lahad Datu. Dua orang adik perempuanku juga berjaya melanjutkan pelajaran. Seorang adik perempuanku sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura Mesir dan adik bongsuku belajar di matrikulasi Labuan.

Ayah berjaya. Ayah sangat hebat. Aku teringin sekuat ayah yang tidak pernah mengenal lelah dan berasa sakit memijak duri-duri kemiskinan demi masa depan anak-anaknya. Aku bangga menjadi anak ayah.

“Nanang, kamu buat apa di sini?” suara ayah mengejutkanku. Lantas kenangan itu berpergian meninggalkanku di atas banir pokok belunu itu. Aku terpegun melihat ayah disitu.
“Ayah dari mana?” soalku sedikit kalut. Sambilku berdiri aku menepuk-nepuk punggungku. Ada lumut yang melekat diseluarku. Dadaku berdebar-debar.

“Ayah tak menoreh getah hari ini?” sambungku lagi. Tanganku pantas menyeka setitis airmata dari mataku yang tanpaku sedari mengalir tanpa salam.

“Ayah pergi memburu. Kamu bukan hendak ke sekolah tadi?” soal ayah lagi.

Aku sengaja tidak menatap wajah ayah. Kelopak mataku berkolam. Hampir melimpah dan mengalir ke pipiku. Aku terlalu kagum dengan ayah.

“Ya tapi saya singgah sebentar di sini. Tempat ini sudah banyak berubah.” Aku cuba menenangkan diriku walau hatiku seperti ingin saja mendakap ayah.

Semenjak selesai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpangan Paitan, aku tidak lagi pernah menjejakkan kaki ke jalan kecil itu. Aku terpaksa berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pinggan-Pinggan Pitas untuk menyambung pelajaranku di tingkatan enam. Waktu itu hanya jalan kayu balak yang boleh menghubungkan daerahku dengan daerah Pitas. Aku hanya dapat balik ke kampung semasa cuti pertengahan semester saja. Aku banyak menghabiskan masa di asrama menelaah pelajaran dan terlibat dengan aktiviti kelab dan persatuan.

“Kamu ingin tertidur lagi di bawah pokok belunu ini?” soal ayah. Aku tergamam. “Kamu tak ingat semasa kamu tingkatan tiga dulu, kamu balik seorang dari asrama dan kamu tertidur di bawah pokok ini. Nasiblah ayah datang kerana waktu itu mak kamu terlalu risaukanmu.” Ayah cuba mengingatkan aku.

Aku tersenyum. Aku mulai tenang semula. Ingatanku datang kembali. Waktu itu selesai sahaja sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah pukul 1.00 petang, aku terus bergegas ke asrama mengemas barang-barangku untuk pulang ke kampung. Aku terpaksa pulang waktu itu untuk melengkapkan borang Biasiswa Persekutuan Kecil. Perlu tandatangan ayah dan cop ketua kampung. Aku terlalu letih, aku berhenti kemudian terlelap di bawah pokok belunu itu.

“Dah besar ini jangan ulang perkara yang sama,” gurau ayah tersenyum padaku. Aku hanya tertawa kecil.

Lelaki makan serangga untuk kurus


BANGKOK – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang kini menetap di Thailand mendakwa, dia berjaya mengurangkan berat badannya selepas mengamalkan memakan serangga.
Lelaki itu, Jason Brink, 29, berkata, dia mengamalkan makan serangga selepas secara tidak sengaja memakan haiwan berkenaan di sebuah kelab malam di sini beberapa bulan lalu.

Sejak kejadian itu, Brink terus menjadikan serangga termasuk tebuan dan semut sebagai antara menu dalam dietnya selepas mendapati makanan itu mempunyai kandungan protein yang tinggi serta sihat.
“Saya tidak makan makanan yang mempunyai lemak yang tinggi sebaliknya memakan makanan yang dicampur dengan pelbagai jenis serangga.

“Sejak beberapa bulan lalu saya berjaya mengurangkan berat badan saya sebanyak beberapa kilogram dan berasa semakin sihat,” katanya.

Menurutnya, serangga seperti belalang dan cengkerik mempunyai kandungan kalori yang rendah sekali gus membantu seseorang itu mengurangkan berat badan. – Agensi


Jangan buang pahala kerana telefon bimbit

TELEFON bimbit ibarat menjadi kemestian dalam hidup masa kini. Rasanya tidak sempurna hidup
tanpa alat komunikasi itu. Lebih-lebih lagi dengan gajet pintar (smart phone) banyak gunanya. Jika sesat jalan, boleh menggunakan google earth bagi mencari destinasi tujuan.

Malah di Masjidilharam, orang Malaysia kini boleh mendengar khutbah dalam bahasa Melayu menggunakan smart phone. Ia hasil inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang menyediakan penterjemah bagi kemudahan ratusan ribu umat Islam dari rantau ASEAN mengikuti khutbah secara langsung yang disampaikan dalam bahasa arab.

Demikian hebatnya teknologi membantu kita dalam memudahkan lagi pelaksanaan ibadat harian. Bagaimanapun, terlalu obses dengan gajet tersebut secara tidak disedari boleh menyebabkan pahala ibadat kita menjadi sia-sia terutama ketika solat Jumaat.

Solat Jumaat adalah masa di mana kaum muslimin berhimpun di masjid tanpa mengira pangkat, kedudukan atau bangsa. Khutbah pula adalah satu daripada lima syarat sah solat Jumaat. Justeru, ia adalah wasilah terbaik untuk menyampai dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.

Sebab itu, Rasulullah SAW menyuruh para jemaah supaya diam dan khusyuk mendengar khutbah. Sabda nabi SAW yang bermaksud: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘diam’ padahal imam pada ketika itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahami daripada hadis ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Malangnya, masih ada dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit mereka. Sehinggakan semasa khatib berkhutbah pun, ada yang melayari internet, chatting dan bermain game.

Perbuatan sebegini tidak patut berlaku kerana ia menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (riwayat Muslim)

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiaskan kepada maksud hadis di atas. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.

Maksud ‘sia-sia’ dalam hadis ini adalah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan solat Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan itu tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja tetapi menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan adalah lebih buruk daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukkan dan menjejaskan tumpuan.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika berlaku darurat misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir jatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal sedemikian, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Marilah memastikan solat Jumaat kita terpelihara daripada sebarang hal yang lagha agar kita beroleh keampunan Allah seperti yang dijanjikan dalam hadis di atas.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER