Headlines News :

Saya orang kecil

Oleh SHARIF PUTERA

INI kali ketiga Usu Dolah panjat bangunan 18 tingkat itu dalam tempoh dua minggu. Ini hajat yang tidak boleh disekat. Menyekat hajat bermakna mengakui gagal. Gagal bukan prinsip hidup Uda Dolah, sasterawan kerdil dari Kampung Hujung Pasir.

Tetapi dalam usia yang hampir melangkah 66 tahun ini, prinsip itu mungkin berakhir. Dia tidak akan memanjatnya untuk kali keempat, takdirnya hajat itu tidak juga kesampaian. Sebaik-baik sahaja dia tiba di permukaan lif iaitu pukul sepuluh suku pagi, hajat itu akan dikuburkan.

Memang sahlah cerita orang, suara halus itu melintas deras ke dalam hatinya, Datuk Makhluk tidak berminat dengan cerita daripada orang luar. Memang benarlah juga, siang malam dia dalam kipasan rakan taulan yang menunggu buah sampai ke tangannya. Barangkali hukumnya, orang seperti Usu Dolah yang serba selekeh tidak begitu dilayan, sungutnya sendiri.

Ketika lif paling kanan terbuka dan memuntahkan lima orang lelaki yang kesemuanya memakai tali leher, Uda Dolah menapak ke dalamnya. Di belakangnya dan bersama masuk dua pekerja perempuan berpakaian serba putih dengan masing-masing memegang sebuah baldi dan sebatang penyapu.

" Pak Cik nak ke tingkat berapa?" Tanya pekerja perempuan itu sambil tangannya pada papan tunjuk tingkat lif.
" Enam belas!"
" Nak jumpa Datuk ke?"
" Hajatnya tu."
" Rasanya hari ni Datuk tak masuk pejabat."
" Mana kamu tahu? Kamu kerja dalam pejabat Datuk ke?"
" Saya tukang sapu pejabat dia," balas pekerja perempuan itu.
" Saya datang kali ketiga ni."

" Sikit tu Pak Cik. Kelmarin saya jumpa seorang tu datang kali ke-10. Tak jumpa-jumpa juga. Dia sumpah saya. Tak pasal-pasal saya kena marah."

Usu Dolah menyapu dagu yang memiliki sejemput janggut. Tidak berusaha menjawab cerita dan aduan pekerja wanita itu. Mungkin nasibnya berbeza. Dia datang itu pun selepas diberi tarikh oleh seorang pegawai dalam sebuah bilik .

"Saya cadangkan Pak Usu datang semula hari Selasa depan. Insya-Allah Datuk ada. Datuk tak ada jadual hari itu."

Lega Usu Dolah mendengar pegawai itu menuturkan janji walaupun pedihnya selepas menunggu lebih sejam di luar biliknya.

Kalau saya datang kali ketiga Selasa ini, akan jadi macam ini juga? Kali pertama pun janji yang sama? Macam hafal saja.

Pegawai itu seperti tersintak. Merah padam mukanya macam udang kena bakar. Usu Dolah merasakan pegawai itu terkena tempias sindiran. Mungkin pertama kali dilaluinya. Orang lama seni janganlah dipermainkan, katanya dalam hati. Pegawai itu meraba sebuah diari di hujung sikunya.
Cuba membuka tetapi menutupnya kembali. Gelisah amat. Tiba-tiba matanya terarah kepada sebuah sampul surat di tangan kanan Usu Dolah.

"Kalau ada apa-apa surat untuk disampaikan, apa salahnya Pak Usu tinggalkan untuk saya serahkan kepada Datuk."

"Yang penting saya nak berjumpa mata dengan ketua saya. Saya pengundi kawasan dia. Saya tak akan puas kalau saya tidak dapat menerangkan lebih lanjut apa yang saya tulis dalam surat pendek ini. "

Dan Usu Dolah meninggalkan muka separuh kecewa di meja pegawai khas Datuk Makhluk.
Ketika turun dari lif Usu Dolah teringat kata-kata anak saudaranya Majid, yang datang ketika dia berehat di bengkel ukirnya selepas waktu solat Zuhur sehari selepas dia gagal menemui Datuk Makhluk pada kali pertama itu.

"Pergi ke rumah dia saja," anjurnya.

Usu Dolah mendongak muka bulat anak saudaranya. Melihat hidungnya yang lebar dan kepalanya yang separuh gondola. Dia meletakkan pahat kecil di sisi lutut.

"Apabila jadi orang besar umpama kuih nikbat di atas meja. Letak sekejap saja akan penuhlah semut. Datuk Makhluk macam tulah. Berjujut orang di rumahnya. Rata-ratanya orang senang dan nak senang lagi. Nak minta projek. Selasarnya penuh. Sampai diturunkan kerusi ke bawah pokok pauh. Ayah Su ni tukang ukir. Orang seni, bukan kontrakor. Ayah Su sekadar nak jumpa, nak cakaplah sikit."

"Biar saya cakap kepadanya yang Pak Usu nak jumpa."
"Tak payah. Tak boleh jumpa di rumah, Pak Usu ke pejabat."
"Lagi susah Pak Usu."
"Lelah Pak Usu tak kena mengena dengan orang."

Sampai sekarang Majid tidak lagi menjengok rumahnya. Usu Dolah tidak ambil kisah sama ada anak saudaranya itu merasa kecil hati terhadap layanannya atau ada hal lain. Marahnya pun tidak jadi kudis gatal kepadanya. Sudah acap kali dia kena marah kerana tidak sempat siapkan ukiran cemagan pintu tempahan orang.

Lagi pun bukan penat mana berjalan dari tempat letak kereta ke bangunan utama pejabat Datuk Makhluk itu. Hajat yang hendak disampaikan itu bukan hajat peribadinya. Dia akan bercakap mewakili ramai karyawan biarpun mereka tidak memintanya diwakili.

Sudah hampir sedekad, orang seni sepertinya tidak diberi perhatian walaupun ukirannya sudah terpapar di beberapa bangunan kedutaan Malaysia di luar negara. Lukisan cat minyak karya rakan pelukisnya seperti Zek dan Jali juga sudah berada di bilik-bilik hotel mewah di ibu kota dan khabarnya tergantung di pejabat perdagangan negara di beberapa kota perdagangan di Eropah. Tak ada sesiapa ambil peduli .

Novelis Salehuddin sudah banyak karyanya diterbit. Sudah ada diterjemah ke beberapa bahasa dunia, dibaca ribuan orang. Pun tidak ada yang ambil hirau. Usu Dolah rasa kecewa dan marah apabila seorang ahli sukan yang menang di peringkat global disambut, disanjung begitu rupa dengan pelbagai hadiah yang lumayan: dapat duit puluhan ribu, dapat tanah lagi. Hanya sekali itulah sahaja. Hanya sekali.

Tetapi pengukir sepertinya, pelukis seperti Zek dan Jali, Salehuddin dan ramai lagi yang sudah tersohor dan sudah kerap kali namanya disanjung dalam halaman seni seperti pengemis. Sudah berdekad mencipta nama.

Dia mahu orang besar itu dapat mendengar luahan hatinya. Mendengarnya sahaja sudah memadai. Hendak menerima atau tidak bukan urusannya lagi. Kalau separuh daripada hujah yang disampaikan itu meresap ke dalam hati pembesar itu memadai. Lenalah dia tidur, amanlah jasadnya ditakdirkan dia pergi.

Usu Dolah sudah masuk ke dalam pejabat Datuk Makhluk. Diminta duduk oleh penyambut tamu seorang perempuan muda yang separuh cantik.

"Pakcik nak jumpa Datuk ke?" soal perempuan muda dari meja kaunter. Hanya wajah separuh comelnya yang kelihatan. Usu Dolah angguk.

"Datuk belum masuk," sambung perempuan itu, selamba.
"Saya ni orang pertama sampai agaknya," kata Usu Dolah.
"Tak semestinya orang pertama dapat jumpa awal," tingkah perempuan di kaunter itu.
"Kenapa jadi begitu?"
"Sekejap lagi orang besar dari KL nak datang. Dua hari lepas mereka buat janji."
"Pakcik dah tiga minggu."
"Nasib orang kecik pakcik," suara simpati daripada perempuan kaunter.
"Kalau pak cik jadi orang besar mungkin tak jadi begini ya?"
"Pakcik nak minta balak ke?"
"Pakcik bukan ada kilang papan," balas Usu Dolah, jujur.
"Tapi saya dapat tahu yang minta balak tu bukan ada kilang pun. Mereka nak kaya segera, nak beli kereta besar, lepas tu cari bini dua tiga."

Usu Dolah senyum. Menurunkan cermin mata berbingkai hitam yang dipakainya ke atas pahanya. Dia yakin dengan apa yang diperkatakan pegawai perempuan kaunter itu. Sebahagian pejuang bangsa hari ini merosakkan pertubuhan yang diwakilinya.

"Pak nak jumpa Datuk, nak minta Datuk bina sebuah kompleks budaya macam di Solo. Semua orang seni berkumpul di situ. Yang pandai ukir buat kerja ukir di sana. Yang pandai lukis, melukis di sana. Yang pandai main drama berlatih dan bermain di sana. Yang nak tulis cerita ,tulis di sana. Bukan untuk pakcik tapi untuk generasi baru yang sudah hanyut."
"Bagus idea pakcik tu," puji perempuan kaunter.

Usu Dolah merasa sedikit lega. Ada manusia yang memuji ideanya itu. Tetapi bukan sasaran perempuan itu untuk didengar. Dia mahu Datuk mendengar. Biar Datuk Makhluk mendengar sendiri cadangan dan rintihannya.

Ketika Usu Dolah hendak menyambung pandangannya, tiba-tiba perempuan separuh cantik di kaunter itu bangkit dan berjalan tergesa-gesa ke pintu besar. Pegawai Datuk yang pernah ditemui Usu Dolah menerpa sama. "Orang dari KL datang pak," ujar wanita itu, menarik daun pintu. Daun pintu terkuak lebar. Masuk beberapa orang korporat berpakaian seragam kelabu. Ketua kumpulan tiba-tiba terhenti, berpaling kepada Usu Dolah.

"Ehhh Usu Dolah pun ada," sapa tokoh korporat, bergerak ke arah Usu Dolah. Pegawai Datuk Makhluk tercengang ketika tokoh korporat itu memeluk Usu Dolah.

"Pak Usu masih sihat nampaknya?"
"Alhamdulillah," balas Usu Dolah.
"Masih mengukir? Masih menulis?"
"Belum berhenti. Periuk nasi Datuk," kata Usu Dolah.
"Kawan lama, " ujar Datuk berbadan gempal kepada rakan-rakannya itu.

Beberapa orang rakan yang dipanggil Datuk oleh Usu Dolah ikut menjabat tangan pengukir dan penulis itu.

Ketika mempersilakan rombongan dari Kuala Lumpur itu memasuki ruang tamu kedua, Pegawai Datuk Makhluk mendekati Usu Dolah.

"Mereka dari Kuala Lumpur nak jumpa Datuk. Lambat sikit. Selepas inilah.

" Encik , siapa yang lebih dahulu membuat temu janji? Saya atau mereka? Siapa yang lebih dahulu sampai di sini? Saya atau mereka?"

Pegawai itu tersengih dan cepat-cepat melangkah. Perempuan kaunter yang dari tadi memegang tombol pintu dengan selamba ke kaunter, menampakkan separuh badannya dan dari jauh seperti kepala anak patung.

Usu Dolah kembali bersandar di sofa. Menerawang ke zaman mudanya, menjadi penggerak utama permainan-permainan tradisi seperti gasing, lumba perahu dan gayung ota-ota. Kini setelah orang sepertinya seorang demi seorang pupus, permainan-permainan itu tinggal dalam sebutan sahaja.

Usu Dolah juga teringat bagaimana susah payahnya dia mengaktifkan gerakan penulisan sehingga melahirkan ramai barisan penulis novel, cerpen dan puisi. Ingatannya bergerak daripada seorang demi seorang , kemudian seorang demi seorang meninggalkan dia buat selama-lamanya.

Dan dalam masa yang sama, dia berjinak-jinak dengan batang-batang kayu lama. Membeli beberapa bilah pahat besar dan kecil. Menghabiskan masa petangnya dengan mengukir batang-batang itu.

Kemudian minat itu semakin lebar sehingga mendorongnya membuka bengkel ukir untuk anak-anak muda menjadi pengukir muda. Indahnya bermain seni. Kepuasan datang bertunda-tunda walaupun harga yang dibayar tidak seberapa.

Hari ini, anak-anak muda hampir kehilangan arah. Tidak ada pembimbing yang mampu mengarahkan mereka menjadi manusia seni bangsanya. Ramai yang menjadi pembimbing kepada kemusnahan dan keganasan. Inilah tekad Usu Dolah untuk menemui Datuk Makhluk. Binalah sebuah komplek seni dan budaya.

Usu Dolah merasa kagum dengan bala tentera orang muda Solo, Jogja yang memenuhi pusat latihan seni di kompleks yang dibangunkan. Alangkah hebatnya kalau kompleks itu dapat dibangunkan di hujung tanjung yang saujana tanahnya.

Usu Dolah sudah terlena di sofa.

Dia memasuki bilik Datuk Makhluk. Datuk Menteri segera meluru menjabat tangan dan mendakapnya. Terasa mesra dan terhibur dengan sambutan luar biasa itu.

"Jarang Pak Usu datang jumpa saya ni," ujar Datuk Makhluk.

"Ada hajat sikit. Kalau nak kata kecil, rasanya besar. Terkandung dalam surat ini." Usu Dolah mengunjukkan surat di dalam sampul putih berukiran 4''x 8 ". Datuk Makhluk menarik surat itu dan membacanya.

"Saya sedang kaji perkara ini. Memang tidak adil."

"Perkara kedua tu?" Usu Dolah ikut meletakkan jari telunjuk kepada perkara dua- Komplek Seni/Budaya.

"Kosnya besar ni," ujar Datuk Makhluk, memandang tepat wajah Usu Dolah.
"Tapi tak sebanyak membina stadium," tingkah Usu Dolah.

"Beri peluang saya kaji," balas Datuk Makhluk.

Usu Dolah menjabat salam Datuk Menteri itu dengan eratnya.

"Terima kasih, Datuk... terima kasih!"

Perempuan di kaunter terbangkit apabila mendengar suara itu. Lantas ke tempat duduk Usu Dolah. Kemudian kembali semula apabila telefon berdering di belakangnya.

"Ya saya. Ya saya." Dia meletakkan kembali gagang dan bergerak ke tempat Usu Dolah semula. Usu Dolah membuka mata. Melihat jam. Sudah dua belas setengah.

"Pak...pegawai Datuk cakap, pak tak sempat nak jumpa Datuk hari ini. Dia minta pak datang minggu depan."

"Pak dah agak. Pak orang kecil kan?"

Usu Dolah menyapu matanya. Bangkit dari sofa.

"Siksanya menungggu orang besar ya?" Dia melepaskan kata-katanya ke daun pintu, membuka dan menutupnya dengan keras. Perempuan kaunter terangkat muka, tersentak. Menggeleng-geleng kepala.

Ulang tahun bonda

Hujan sudah lama tidak membasahi bumi kami. Mungkin kerana air mata kami sudah cukup membuatkan tanah ini basah dan sentiasa basah.

Langit di sini juga sudah lama runtuh. Dan kami perlahan-lahan sedang bangkit membina langit, membina awan dan memintal pelangi.

Sejak hujung tahun lalu kami diuji. Satu demi satu dugaan menimpa. Kami hampir bangkit selepas satu dugaan tetapi kami jatuh kembali dan begitulah hingga detik ini kami jatuh dan bangkit, hati kami sudah terluka, terlalu banyak.

Yang paling terseksa tentu saja bonda. Bonda yang kerap menangis dan merintih.

Bonda perempuan yang kuat kami tahu. Bonda pada usianya sudah menempuh pelbagai duri dan ranjau.

Usia bonda adalah saksi bonda hidup merentas dugaan dan cabaran untuk terus hidup.

Kejujuran bukan lagi percuma. Dan bonda terlalu tahu dia harus menjadi kuat dari kami.

Bonda sejak akhir tahun lalu belum langsai sebaknya. Bonda kerap menangis.

Tapi kali ini kata bonda, sesudah lama dia tidak menangis sebegini nikmat, alangkah sedih dia menikmati nikmat menangis pada ulang tahun kelahirannya..

Kata bonda dia tidak pernah merasai nikmat menangis yang sebegini. Nikmat menangis yang penuh telus, luhur dan jujur. Nikmat menangis yang mahu dirasanya beradab-abad lama.

Kata bonda, selama hidupnya inilah nikmat menangis yang dimimpikan.

Selama ini setiap kali dia menangis, seluruh tubuhnya terasa sakit. Bahunya yang tua seksa menahan getar tangisan dan jantung ada kala terasa bagai mahu tercabut mengenang seribu satu kemungkinan. Tentang malam dan siang, tentang susah dan senang kami, anak-anaknya.

Tapi nikmat menangis pada ulang tahun kelahirannya kali ini terasa lain benar. Menangis yang nikmat, amat.

Saya tahu kebelakangan ini, bonda memang mudah menangis. Mungkin usia yang tua menjelaskan keadaan itu. Orang tua hatinya rapuh. Mudah tersentuh, mudah juga berderai dan berkecai kalau tidak ditangani dengan betul.

Abang-abang saya tidak pernah peduli tentang bonda. Kata mereka adatlah apabila tua semua perkara menjadi isu. Malah teh yang kurang gula pun jadi isu.

Aneh! Bonda dalam meniti usia tuanya, menjadi semakin aneh. Sewaktu kami anak-anak mendoakan bonda terus sihat dan sejahtera, bonda sebaliknya. Dia berdoa untuk menangis dengan penuh nikmat.

"Orang tua dan tangisan itu tidak berpisah, apabila kita semakin tua hati kita makin tersentuh," itu kata bonda sewaktu saya menyeka air matanya seraya memintanya jangan lagi menangis.

"Jadi bagaimana menzahirkan rasa gembira kalau tidak menangis?," bonda bertanya.

"Ketawa" saya menjawab.

"Banyak ketawa hanya akan menghitamkan hati,"

"Banyak menangis nanti jadi Kassim Selamat," saya menjawab dan bonda tersenyum.

Tapi sungguh, bonda memang kerap menangis. Apatah sebulan dua ini, bonda diuji dengan pelbagai musibah. Anak-anak bonda, berperang secara terbuka, caci mencaci, kafir mengkafir malah menafikan hak anak lain apabila melakukan pelbagai gerak silat, sepak terajang, langkah melangkah untuk memegang tampuk kuasa.

Dan dalam masa yang sama, bonda perlu menanggung luka waktu nyawa anak-anaknya diragut, satu persatu di tanah utara di bawah bayu.

Kata bonda, semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, bonda halalkan susu yang diberikan kepada mereka dan bonda doakan mereka dimasukkan ke syurga tanpa hisab kerana sesungguhnya mereka terkorban sewaktu bertarung dengan musuh yang mahu merobek kehormatan bonda mereka.

Tidak lama pun selepas itu, waktu bonda masih berkabung hati tua bonda bagai runtuh dan berderai waktu anak-anaknya hilang begitu saja di balik awan. Hilang tanpa dikesan, hilang dari radar entahkan mati entahkan masih bernyawa. Bonda tidak pernah tahu.

Hati bonda selalu rusuh memikirkan mereka. Dan seperti selalu, air mata menjadi peneman setia.

"Di mana anak-anakku disorokkan? Apakah dosa anak-anakku pada kalian?," bonda selalu bertanya sendiri. Malah dalam igau, itu juga yang bonda tanyakan.
Kelip kelip kusangka api
Kalau api mana puntungnya
Hilang ghaib disangka mati
Kalau mati mana kuburnya?

Selalu bonda melagukan pantun itu sendiri. Katakan hati ibu mana yang tidak rusuh, sewaktu anak-anak hilang begitu saja dalam sekelip mata.

Tapi saya katakan kepada bonda, bertabah bonda. Tidak semua kematian itu akan bertanda. Walau di mana pun kita, kematian akan datang tanpa atau dengan tanda. Dan bonda akan mengangguk setuju walau mungkin hatinya kurang ikhlas menerima.

Kebelakangan ini, rutin makan malam kami yang sudah berzaman-zaman itu tidak semeriah dulu. Daripada 14 kerusi yang sepatutnya menampung anak-anaknya, hanya beberapa sahaja yang terisi. Selebihnya, ada kerusi tanpa penghuni.

Dan bonda di hulu meja akan duduk termenung memikirkan apa salahnya dia sebagai bonda. Apakah salah dia mengasuh, atau apakah sebenarnya anak-anak ini mahu?

Bonda tidak pernah ada jawapan kerana anak-anak yang membesar menjadi lelaki-lelaki perkasa tidak mahu pun mendengar. Untuk mereka, bonda adalah perempuan yang semakin dimamah usia dan tidak lagi berada dalam arus masa.

Kata mereka, bonda sudah terlalu lama dicengkam nostalgia. Bonda didendangkan dengan lagu-lagu zaman awal merdeka, sedang anak-anak bonda sudah lama menjadi anak merdeka dan tidak berkongsi lagi aspirasi dengan bonda.

"Kisah bonda dan lelah bonda berjuang membangunkan tanah ini dan membesarkan kami hanya relik yang ada atau tidak, kami akan terus berada di sini,"

Bonda diam. Mendengar suara keangkuhan seorang demi seorang anak-anaknya. Ah, bukan sekali dua anak-anak bonda bertekak di meja makan, baling membaling makanan malah juga kerusi.

Kata bonda, anak-anaknya semakin bijak bersiasah, bijak untuk memperjuangkan tekak sendiri. Dan mereka tidak segan silu mempergunakan saudara yang lain.

Bonda tidak pernah mengajar anak-anak ini menjadi derhaka. Bonda tidak pernah mengajar anak-anak ini menjadi kurang ajar juga. Tapi kedewasaan dalam siasah menjadikan mereka lebih bijak. Bijak memanipulasi sementara yang lain rela dimanipulasi.

Kebenaran pada mereka apabila ada yang harus menyalahkan. Sistem kehakiman dikecam, sistem pengurusan pilihan raya juga ditikam. Semuanya salah, semuanya pincang.

Bonda menjadi semakin takut dan selalu saya mendengar suara bonda bergetar-getar berdoa, Tuhanku, bukakanlah pintu hati anak-anakku. Jadikanlah mereka yang bijaksana, bebas dan merdeka!
Kata bonda, dulu runtuhnya sistem demokrasi di sesetengah negara Afrika adalah kerana sindrom yang serupa. Sindrom saling salah menyalahkan dan hilang kepercayaan kepada badan kehakiman dan suruhanjaya pilihan raya.

Dan bonda sangat gentar, penyakit yang sama mewabak dan memusnahkan seluruh kasih sayang yang dibaja dan dijaga selama ini.

Bonda tahu, setiap anak-anak punya kehendak sendiri. Setiap anak-anak punya muslihat sendiri. Mereka mahu menguasai pemikiran bonda, menguasai jantung dan hati bonda untuk menguasai seluruh kepunyaan bonda.

Tapi bonda juga tahu mereka tidak pun berminat menjaga bonda, mengambil tahu sakit atau susahnya bonda. Demam atau tidaknya bonda. Mereka mahu menguasai bonda untuk diri sendiri. Kata bonda mereka sudah lama menjadi hamba materi.

Dan bonda, untuk setiap semua dugaan dan luka yang menoreh hatinya, bonda hanya mengadu pada Tuhan yang adi. Dan bonda akan bercakap-cakap dengan Tuhan, bonda akan meluahkan seluruh duka dalam dada dan bonda akan menangis.

Ya, menangis untuk menzahirkan segala duka.
Kelmarin, cucu-cucu bonda bertanya:
Nenek salahkah kita berkawan dengan orang berlainan bangsa dan agama? Nenek salahkah kalau kita saling sayang menyayangi sebagai saudara kalau mereka berlainan agama dengan kita? Nenek Tuhan tidak marahkah kalau kita melawan orang tua dan menjadi derhaka?

Lama bonda diam, memerhati wajah cucu-cucunya satu persatu sebelum menjawab.
"Kamu tanyalah bapa-bapa kamu kerana mereka sekarang galak menabur benci dalam hati anak sendiri."

Dan bonda bangun, berlalu dengan menangis.
Ramadan lalu, waktu bonda berteleku membawa al-Quran sementara menanti sahur, bonda dikejutkan lagi dengan berita duka.

Anak-anaknya dimangsakan dalam pelan perang geopolitik. Anak-anaknya yang mahu pulang ke pangkuan bonda, mahu mendakap tubuh bonda yang tua hilang dalam sekelip mata.
Bonda terjelepuk di sejadah menangis dengan hati tercedera.

Apakah mungkin dosa anak-anaknya hingga mereka dibunuh sebegitu kejam? Apakah salah mereka? Bonda menangis lagi dan waktu bonda membaca yassin, mengisi gelap malam, saya terasa masuk ikut bersama dalam hati bonda yang sendu.

Waktu itu, perjalanan masa bagai terhenti. Setiap jiwa bagai derita. Melihat bonda menangis, melihat bonda dalam usia tuanya perlu menanggung musibah demi musibah, setiap anak-anak bagai dipanah petir, terkejut dan terpaku.

Setiap mereka terdiam. Bisu dan pucat lesu. Mereka mendatangi bonda kemudiannya, memeluk bonda, mendakap dan mengucup bonda. Mereka malah ikut menangis.

Malam itu, rutin makan malam kami di rumah tua ini kembali seperti zaman-zaman awal kelahiran bonda. Semua kerusi diisi, semua anak-anak bonda ada di sisi.

Wajah bonda mendung terlalu hingga bonda tidak mampu pun mengucap sepatah kata. Bonda pada setiap detik ingatan bagaimana nyawa anak-anaknya diragut, akan menangis.

"Bonda tidak mampu hendak bayangkan, bagaimana ada hati-hati hitam yang bisa meragut nyawa yang lain untuk permainan politik bangsat!" suara bonda bergetar-getar.
Anak-anak bonda berteleku. Semuanya mengangguk setuju.

Minggu lalu, beberapa minggu sebelum tibanya ulang tahun bonda, jasa anak-anak bonda yang melayang di bumi Ukraine, dibawa pulang untuk disemadikan.

Bonda menyambut setiap jasad yang tiba dengan hati yang sangat sengsara. Setiap jasad berbalut jalur gemilang, setiap bekas abu yang bersalut bendera negara itu bonda dakap dan bonda cium.

Kata bonda, walau dalam apa bentuk pun, semua mereka ini adalah anak-anaknya. Mereka adalah anak-anak kandungnya.

Bonda menangis dan setiap anak-anak bonda ikut menangis. Bonda berkabung dan setiap anak-anak bonda ikut berkabung.

Dan itulah harinya, kata bonda dia menangis dengan penuh nikmat.

"Duka rupanya mampu menyatukan setiap hati anakku. Duka rupanya yang mampu membuat kalian bersatu. Hakikat ini benar tetapi berat anak, rupanya duka yang bias menyatukan kita."-Utusan Malaysia

Mengapa tekanan baik untuk kita?

TIDAK semua yang dinamakan tekanan atau stres hanya mengundang implikasi negatif. Ada kalanya ia bermanfaat untuk memastikan kualiti hidup serta kerjaya kita lebih baik.

Beberapa kajian oleh pakar kesihatan menemui dapatan yang baharu dan unik. Berikut antara beberapa kebaikan yang boleh diperoleh daripada tekanan;

1. Tekanan membantu kita menjadi lebih kreatif.

Ahli psikologi, Larina Kase dari Pennsylvania berkata, tekanan selalunya wujud bersama sebuah kejayaan atau kreativiti kerana minda yang terlalu santai tidak akan perasan tentang kepentingan kepelbagaian.

“Tekanan selalunya meningkat apabila kita menemui sesuatu yang baharu kerana perubahan secara tipikal datang bersama tekanan baharu.

“Hasil kreativiti kita juga menimbulkan sedikit kegelisahan kerana memikirkan pandangan orang lain terhadap karya kita,” ujarnya penulis buku Pemimpin Berkeyakinan: Bagaimana Tokoh Paling Berjaya Melangkah Lebih Luar Biasa.

2. Tekanan bagus untuk sistem imunisasi kita.

Pakar psikiatri klinikal, Mark Goulston mendedahkan, tekanan dalam skala yang kecil boleh membantu menguatkan sistem imun badan apabila hormon tekanan (cortisol) dilepaskan.
Katanya lagi, apabila tekanan terhasil, tubuh badan akan kekal kuat, bertenaga dan sihat.
Namun begitu, ujarnya, tekanan terlalu tinggi pula akan menyebabkan hormon terhasil berlebihan yang boleh menyumbang kepada obesiti abdinomal.

3. Tekanan membantu meningkatkan kesihatan diri.

Melakukan angkat berat, berlari atau memperuntukkan selama 45 minit dengan berbasikal adalah senaman yang memberikan tekanan yang baik kepada tubuh badan kita.

Penyelaras pendidikan sepanjang hayat bagi American Council on Exercise (ACE), Jessica Matthews berkata, tekanan dalam senaman yang sederhana menyediakan kualiti kesihatan yang baik selain beberapa kesan positif yang lain.

“Dari perspektif psikologi, tuntutan badan ketika bersenam membantu menjadi lebih berkesan dalam menyempurnakan kehidupan harian.

“Senaman biasa juga berpotensi untuk merendahkan kadar hormon tekanan manakala meningkatkan tahap endorfin dalam badan lalu menghasilkan perasaan yang menyegarkan,” ujarnya yang juga jurulatih kesihatan.

4. Tekanan membantu menyelesaikan masalah.

Dalam kehidupan kita, sudah tentu kita pernah berhadapan dengan cabaran untuk membuat sebuah keputusan yang besar. Kerisauan seperti ini juga sebenarnya bermanfaat.

Menurut Dr Kase, tekanan membayangi penghargaan kita kepada sesuatu yang kita miliki kerana jika seseorang tidak mengendahkan sesuatu, maka dia tidak perlu memikirkan tentangnya.

5. Tekanan boleh memastikan keselamatan anak-anak lebih terjamin.

Menurut pakar, seseorang ibu yang merasa tekanan yang lebih mampu meningkatkan kadar keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman bahaya.

Bahkan, sebuah kajian dari University Johns Hopkins mendedahkan, paras kortisol ibu yang mengandung berada pada paras yang lebih baik berbanding ibu yang lain.

Bagaimanapun, kajian menyarankan supaya ibu tidak terlalu bersifat melindungi sehingga menjejaskan perkembangan komunikasi anak-anak.

6. Tekanan menyumbang kepada kualiti kerja yang baik

“Pada satu-satu masa, tahap tinggi tekanan dan kebimbangan mampu memastikan kalian lebih bertenaga, fokus dan bermotivasi di tempat kerja,” kata Dr Kase.

Beliau berkata, tanpa tekanan yang cukup, seseorang tidak mungkin dapat berusaha dengan lebih baik dan mengurangkan tahap kesilapan.

“Anda perlu mengambil risiko untuk memajukan kerjaya dan meningkatkan nilai diri bagi posisi yang lebih tinggi. Anda cuma perlu bijak berjaya mengendalikan tekanan bagi membina keyakinan dalam kerjaya dan lain-lain perkara dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

7. Tekanan menjadikan kita bertambah sihat selepas rawatan kesihatan atau pembedahan.

Kajian menunjukkan hubungan antara tekanan jangka pendek yang positif sebelum rawatan pembedahan atau perubatan boleh mewujudkan semangat berjuang sehingga berpotensi menentang kanser payudara.

Hal ini kerana, kajian membuktikan bahawa tekanan boleh menyekat penghasilan estrogen yang bertindak sebagai pemain utama dalam pembangunan kanser payudara.

“Respon kepada tekanan kita membuatkan kita lebih berwaspada dengan sebarang cabaran, bahaya bahkan peluang,” jelas Dr Goulston.

Malah, kata beliau lagi, tekanan yang turut membebaskan adrenalin membantu seseorang lebih fokus dan berfikir dengan lebih jelas.

Misi angkat martabat

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Pembangunan teknologi angkasa sememangnya memerlukan perbelanjaan yang amat besar. Justeru, penglibatan dalam membangunkan teknologi berlaku amat perlahan namun berterusan.

Biarpun sudah bertukar perdana menteri, namun program angkasa tetap diteruskan menerusi pembinaan Pusat Angkasa Negara yang kini telah telah lengkap ke semua fasanya.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad, semua negara ingin menguasai angkasa kerana mereka akan dianggap berkuasa.

Sebab itu, perlumbaan ke angkasa lepas tidak pernah berhenti, malah semakin banyak negara ingin menghantar satelit dan angkasawan. Ini membuktikan mereka menguasai teknologi angkasa lepas.
Malaysia juga tidak ketinggalan mencari peluang meneroka angkasa lepas dan menerusi Program Angkasawan Negara (PAN) seorang angkasawan telah berjaya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007.

Dua buah satelit kerajaan juga telah dihantar ke angkasa lepas iaitu mikrosatelit pertama negara TiungSAT-1 pada 26 September 2000 dan RazakSAT pada 14 Julai 2009.

Pembinaan dua satelit tersebut dan bakal disusuli satelit ketiga tahun ini boleh dianggap lonjakan negara dalam industri angkasa lepas, sekali gus mengangkat martabat sains dan teknologi negara.
Misi Malaysia tersebut disusuli dengan pembangunan kemudahan yang diperlukan sejajar dengan pembinaan dan pelancaran satelit tersebut untuk manfaat jangka panjang.

Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang Banting, Selangor telah mula dibangunkan untuk kegunaan pemantauan RazakSAT.

Pembangunan pusat angkasa tersebut merangkumi tiga fasa.

Berkongsi cerita mengenai perkembangan pusat tersebut yang dibangunkan secara berperingkat, Dr. Noordin berkata, pusat tersebut kini telah siap sepenuhnya.

Fasa pertama pembangunan adalah pembinaan kemudahan untuk menerima segala data daripada satelit negara iaitu RazakSat iaitu Stesen Bumi.

Kedua adalah membina sebuah makmal yang dikenali sebagai Makmal Kalibrasi Optik.

“Makmal tersebut berfungsi sebagai sebuah pusat untuk mengkalibrasi kamera yang diletakkan pada satelit sebelum ia di hantar ke angkasa," katanya ketika ditemui di pusat tersebut baru-baru ini.

Jelas Dr. Noordin, makmal tersebut telah disiapkan pada tahun 2006 dan merupakan makmal pertama seumpamanya yang memiliki kebolehan kalibrasi sistem optikal pada satelit.

Berfungsi sepenuhnya pada 6 April 2006, iaitu tiga bulan setelah ia disiapkan, makmal itu memiliki sebuah bilik bersih, bilik kawalan habuk, bilik kawalan, kawasan pemunggahan dan pejabat setinggi dua tingkat.

Setelah kejayaan demi kejayaan ditempa oleh negara dalam program angkasawan, pusat tersebut dikembangkan lagi dengan membina kemudahan fasa kedua dan ketiga.

Fasa seterusnya atau yang ketiga adalah pembinaan Pusat Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AITC).

AITC yang berfungsi sebagai pusat pemasangan dan pengujian satelit sebelum ia dilancarkan ke ruang angkasa.

“Antara ujian yang dilakukan terhadap satelit di AITC adalah ujian goncangan pada skala yang tinggi.
“Seperti yang kita maklum, penggunaan roket untuk melancarkan satelit ke angkasa akan menyebabkan gegaran yang kuat dan dikhuatiri terdapat komponen satelit akan tertanggal seterusnya menyebabkan satelit gagal berfungsi," katanya.

Katanya, ujian tersebut akan dilakukan pada satelit mengikut skala gegaran yang sama ketika roket sebenar dilancarkan membolehkan jurutera mengetahui tahap ketahanan komponen yang dipasang.
Bahkan, jika terdapat skru kecil yang tertanggal juga kadang kala akan menjejaskan fungsi satelit. Ini harus dielakkan kerana untuk membina dan menghantar sebuah satelit ke angkasa memerlukan kos yang begitu tinggi.

“Jika komponen-komponen pada satelit tidak berfungsi maka ia tidak lagi berguna dan hanya membazirkan perbelanjaan yang dikeluarkan," katanya.

Pembinaan disiapkan pada tahun 2011 dan AITC menyediakan pelbagai ujian lain yang boleh dilakukan ke atas satelit.

Malah pusat itu menurut Dr. Nordin, turut menawarkan perkhidmatan ujian yang sama kepada pihak industri yang terlibat dalam bidang teknologi angkasa mahupun luar bidang tersebut.

“Kita kini tidak mengehadkan penggunaan AITC ini untuk ujian satelit negara sahaja. Sesiapa juga yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ujian tersebut boleh berbuat demikian," katanya.
Antara ujian yang ditawarkan adalah ujian getaran, ujian bunyi, ujian suhu, ujian tekanan udara dan pelbagai lagi.

Jelas Dr. Noordin, kemudahan tersebut adalah yang pertama seumpamanya rantau Asia Tenggara dan perkhidmatan itu kini dibuka kepada umum sama ada pihak dalam negara mahupun luar negara.
Pihaknya juga turut membuka peluang kepada pihak industri untuk mengadakan lawatan bagi melihat sendiri perkhidmatan yang ditawarkan di AIT dan kemudahan yang lain.

Sementara itu sebuah lagi pusat seumpamanya dijangka dibangunkan di Tuaran Sabah dalam tempoh terdekat.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER