Headlines News :

Israel bakal berdepan kekalahan lebih dahsyat

Oleh MOHD ARIF JUHANI

KEGEMBIRAAN umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadan terus bertukar derita apabila tentera Zionis-Israel bertindak membedil wilayah Gaza dengan serangan udara yang menatijahkan korban jiwa, kecederaan parah dan kemusnahan tempat tinggal penduduk Palestin.

Ketika ramai peminat seluruh dunia menangis apabila pasukan bola sepak Brazil yang juga tuan rumah Piala Dunia 2014 dibelasah 7-1 oleh Jerman, situasi yang lebih parah terpaksa dihadapi oleh penduduk Gaza berdepan dengan kekejaman negara haram yang dilindungi Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab.

Pelantikan presiden haram Mesir, Jeneral Abdel Fatah Al-Sisi juga dilihat seolah-olah menjadi ‘kunci’ kepada keberanian Zionis- Israel untuk kembali melakukan serangan terhadap penduduk Gaza selepas kepentingannya tergugat semasa Presiden Dr Mohamed Morsi memerintah negara itu.

Ketika artikel ini ditulis, laporan menyebut bahawa sebanyak 780 serangan udara dilancarkan dan memusnahkan 112 kediaman, 64 syahid, 450 cedera parah dan kebanyakan mangsa terdiri daripada kalangan wanita dan kanak-kanak.

Hakikat yang sukar untuk ditolak pula adalah dipercayai korban nyawa dan kemusnahan infrastruktur di Gaza akan terus meningkat berdasarkan kepada pendirian Perdana Menteri Zionis- Israel, Benjamin Netanyahu bahawa lebih 40,000 tentera dalam mode bersedia untuk melancarkan serangan melalui darat pula.

Menurut kenyataan Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, Operation Protective Edge yang dilancarkan oleh tentera Zionis-Israel (IDF) dengan tujuan untuk menghapuskan gerakan Islam, Hamas merupakan lanjutan kepada Operations Brother’s Keeper yang bertujuan kononnya untuk mengesan tiga remaja Israel yang diculik di Hebron.

Seperti yang mudah dijangka, kata Prof Hafidzi, secara spontan Zionis-Israel menuduh Hamas kononnya merupakan dalang penculikan itu walaupun pertubuhan Islam popular itu menafikan.
Strategi menuduh musuh melakukan jenayah yang tidak dilakukan ternyata memang kaedah yang kerap diulang-guna oleh negara haram Zionis-Israel itu bagi meneruskan tekanan terhadap musuhnya.
Tentunya kita masih ingat perang yang berlangsung di selatan Lubnan pada 2006 apabila serangan ketenteraan yang diambil oleh Zionis-Israel kononnya berdasarkan kepada motif untuk membebaskan dua orang tentera yang ditawan.

Bagaimanapun selepas hampir sebulan perang berlangsung antara Zionis-Israel dengan Hizbullah, negara haram itu terpaksa menanggung malu yang besar kerana tewas sehingga terpaksa menerima Resolusi 1701.

Kita percaya resolusi yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) tentunya bertujuan untuk melindungi kepentingan Zionis-Israel dan mengelakkan negara serta tentera haram itu terus menanggung kerugian yang lebih besar.

Mampu balas serangan Zionis Berdasarkan kepada tinjauan mudah  terhadap kekuatan kelengkapan tentera yang dimiliki oleh Briged Izzudin Al-Qassam iaitu sayap tentera Hamas, dipercayai mereka mampu memberikan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap Zionis-Israel.

Walaupun mungkin boleh ditafsir sebagai propaganda, tetapi menurut laporan dalam laman web Israel Defense Forces (IDF), mereka mendakwa Briged berkenaan sememangnya berkemampuan untuk mengancam majoriti rakyat negara haram itu meliputi kawasan Tel Aviv, Haifa, Jerusalem, Be’er Sheva.

Hal ini kerana, pelancar roket tercanggih yang dimiliki oleh Briged iaitu M-302 mampu menjangkau sehingga 160 km dengan berat kepala peledaknya 144 kg. Dengan kekuatan itu, IDF mengakui bahawa roket ini mampu memusnahkan sebahagian besar kawasan negara haram itu.

Meninjau kepada perkembangan terkini konflik itu, ternyata Hamas sebenarnya tidaklah memerlukan campur tangan pihak luar khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membantu menyelesaikan pergolakan itu kerana gerakan Islam itu sudah cukup berupaya untuk menghadapi kezaliman Zionis-Israel.

Walaupun berada dalam kelompok yang ditindas, tetapi penduduk Gaza jelas berbeza kekuatan mentalnya kerana sanggup berdepan serangan Zionis-Israel berbanding penduduk negara haram itu yang bertempiaran melarikan diri apabila siren amaran dibunyikan oleh pihak berkuasa.

Untuk jangka masa yang panjang, besar kemungkinan penduduk negara haram itu akan berdepan dengan masalah psikologi kerana ketakutan serta kebimbangan yang berterusan ketika berada di sana.
Boleh jadi juga, negara haram itu akan musnah dari dalam apabila penduduknya yang tidak tahan berdepan ketakutan setiap hari bertindak mendapatkan kewarganegaraan di negara lain.

Apatah lagi, berdasarkan kepada apa yang berlaku sebelum ini, ternyata juga bahawa kedua-dua pertubuhan sedunia itu memang lemah dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan umat Islam seperti di Myanmar, Selatan Thailand dan seumpamanya.

Lebih memalukan adalah kelemahan OIC untuk bertindak walaupun asas penubuhan pertubuhan itu pada 25 September 1969 adalah sebagai reaksi terhadap kebiadapan puak Zionis yang menyerang Masjid Al-Aqsa.

Namun, segala solidariti yang dilakukan oleh penduduk dunia terhadap perjuangan pembebasan Palestin terletak pada nilai kemanusiaan sematamata apatah lagi Ramadan yang sedang disambut ketika ini wajar dijadikan punca kepada semangat untuk membasmi kezaliman.

Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid supaya umat Islam mengambil ruh perjuangan dan pengorbanan yang ditanam di bulan Ramadan ini dengan tampil menyatakan bantahan keras dan menghulurkan bantuan segera kepada rakyat Gaza.

33,000 Tentera Israel Siap Sedia Lancar Serangan Darat

BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 33,000 tentera Israel, peralatan perang termasuk kereta kebal dan perisai bersiap sedia serta ditempatkan di sepanjang sempadan untuk melancarkan serangan melalui darat di Semenanjung Gaza.

Perancangan terbaharu ini membuktikan kekejaman Israel tidak pernah padam selepas serangan yang masuk hari kelima dan mengorbankan 127 orang.

Ketika ini juga, sekurang-kurangnya 16 lagi kawasan penduduk Palestin menjadi sasaran dalam serangan ganas Israel.
Pada masa sama, Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu bertegas untuk tidak tunduk dengan tekanan antarabangsa bagi menghentikan pengeboman, manakala Menteri Luar, Avigdor Lieberman pula memaklumkan keputusan akan dibuat mengenai serangan darat, selepas melancarkan fasa pertama melalui udara sebelum ini.


Anggota Israel diberi penerangan mengenai operasi yang bakal dilancarkan di Semenanjung Gaza di lokasi yang dirahsiakan.


Bagaimanapun, jurucakap tentera Jeneral Moti Almoz berkata, beliau menjangkakan serangan udara akan berterusan untuk beberapa hari kerana ‘terdapat banyak lagi sasaran untuk diserang’.

Serangan terbaharu semalam membunuh tiga penduduk di timur kejiranan Tufah di Bandaraya Gaza, kata jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra.

Pesuruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pilay menyuarakan kebimbangan berhubung jumlah kematian orang awam akibat serangan itu.

Rejim Zionis turut mengebom dua buah masjid di Gaza semalaman.

"Pengeboman dua buah masjid di Gaza itu menunjukkan betapa tidak bertamadun musuh itu," kata jurucakap Hamas di Doha, Qatar, Husam Badran.

"Keganasan tersebut memberikan kami hak untuk meluaskan lagi tindak balas bagi menghalang tindakan Israel itu," tambahnya.

Pihak tentera Israel menyiarkan gambar masjid yang diserang itu  yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan roket.

Tentera Israel menyatakan, pergerakan Hamas, Jihad Islam dan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin menggunakan taktik itu untuk menyalahgunakan masjid dengan menyembunyikan senjata api.Mstar

Jerman julang Piala Dunia 2014

Jerman meraih Piala Dunia pertama mereka selepas penyatuan antara Jerman Barat dan Timur dalam perlawanan sengit di Stadium Macarena, Sao Paolo awal pagi ini.

Jerman hadir dengan reputasi garang sebagai pasukan yang menjaringkan paling banyak gol dalam Piala Dunia edisi ini dengan 17 gol termasuk ketika membelasah tuan rumah, Brazil 7-1 pada perlawanan separuh akhir.

Argentina pula tampil sebagai pasukan paling kuat pertahananya apabila hanya melepaskan 3 gol sebelum ini dan tidak dibolosi langsung dalam pusingan kalah mati.

"Supersub" Mario Gotzë menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan akhir ini tujuh minit sebelum masa tambahan berakhir.

Perlawanan ini bermula dengan rancak dan bertenaga di hadapan 74,738 penonton di stadium terutamanya pada separuh masa pertama apabila serangan bertali arus oleh kedua-dua pasukan.

Walaupun Jerman menguasai 63 peratus bola, penyerang Argentina Gonzalo Higuain hampir meletakkan pasukannya di hadapan sebanyak dua kali.

Pada minit ke 11, kesilapan Toni Kroos menanduk bola kebelakang menghadiahkan peluang apabila Higuain hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gawang Manuel Neuer namun cubaannya tersasar.

Pada minit ke 29 hantaran cantik Lionel Messi disambut Huguain yang menewaskan Neuer namun ditolak pengadil kerana offsaid.

Persaingan sengit kedua pasukan ini turut terbukti apabila beberapa permain tercedera di bahagian kepala.

Paling teruk ialah Christoph Kramer yang berlaga dengan bahu pertahanan Argentina Ezequel Garay pada minit ke 17.

Beliau kemudiannya terpaksa dikeluarkan 14 minit kemudian apabila rebah di padang dengan wajah sugul dan seolah tidak sedar apa yanv berlaku.

Pada separuh masa kedua kepala Huguain pula berlaga dengan lutut Nueuer ketika merebut bola di udara namun masih meneruskan permainan sebelum digantikan.

Pemain tengah Jerman Bastian Schweinsteiger pula mengakhiri permainan dengan muka penuh darah apabila terlibat dalam tiga pertembungan sewaktu merebut bola.

Kemenangan ke atas Argentina merupakan kali ketiga
berturut-turut Jerman menyingkirkan lawannya ini selepas dalam pusingan kalah mati Piala Dunia.

Canselor Jerman Angela Merkel kemudian menyertai perayaan pemain di padang dan menjadi pasukan ketiga selepas Itali dan Brazil memenangi Piala Dunia lebih tiga kali.

Lebih manis cubaan kedua di final selepas 2002 apabila rakyat Jerman mampu dirayakan seluruh rakyat Jerman selepas penyatuan pada tahun 1990.

Jerman menundukkan Argentina pada kedua-dua suku akhir Piala Dunia 2006 dan 2010 sebelum ini menunjukkan kemenangan ini lebih dari sekadar bernasib baik.

Saguhati kepada Argentina apabila Messi dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohana

Nueuer pula mendapat anugerah 'sarung tangan emas' sebagai penjaga gawang terbaik.

Penyerang rebutan dari Colombia James Rodriguez mendapat anugerah kasut emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol sementara pemain muda Perancis Paul Pogba mendapat anugerah pemain muda terbaik.

Saat emosinal turut dirasakan apabila penyerang veteran Miroslav Klose ditukarkan lewat permainan.

Klose, 36 juga diiktiraf sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 16 gol dan telah bermain untuk empat edisi termasuk di Brazil.


Gaza menangis, di mana umat Islam?

Oleh KHALIS IBRAHIM 


ASIA Barat adalah wilayah yang paling kuat dilanda kecamukan sejak penjajahan imperialis Barat. Setelah tumbangnya kerajaan Turki Uthmaniyah, negara-negara jajahan empayar Islam yang terakhir itu dibahagi oleh rejim Barat melalui Perjanjian Sykes-Picot.

Disamping bertujuan memecahkan tanah jajahan empayar Uthmaniyah kepada kuasa-kuasa besar Barat ketika itu, ramai pengamat politik berpendapat perjanjian tersebut juga meletakkan objektif penubuhan sebuah negara baru bagi menempatkan pelarian Yahudi. Rentetan dari itu, wujudnya Israel sebagai negara baru hasil rampasan tanah milik rakyat Palestin.

Sehingga hari ini, Israel menjadi agenda terpenting dasar luar “polis dunia” Washington khususnya mengenai keselamatan negara haram tersebut. Keberadaan PBB sejak ditubuhkan pasca perang dunia juga bagi memastikan keutuhan strategik negara tersebut.

Menariknya mengenai Israel ialah mengenai kedudukannya di rantau Asia Barat. Dikelilingi negara-negara majoriti umat Islam termasuklah Lubnan, Jordan, Syria dan Mesir.

Ini bermaksud, jika negara-negara Arab yang mengepung Israel dari sudut geografi itu bersepakat untuk menekan Israel dari sudut tekanan politik mahupun ketenteraan, Zionis bakal menghadapi kesusahan.

Bantuan kemanusiaan ke Gaza lebih banyak datangnya dari sukarelawan Eropah dan jauh di timur Asia termasuk Malaysia.

Negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin sudah terbuai dengan konflik politik negara mereka yang tidak berkesudahan.

Hakikatnya, negara Arab mampu berhadapan dengan Israel jika mereka mahu. Malah, mereka juga mampu berganding bahu bagi melawan musuh yang satu sungguhpun wujud kepentingan bagi beberapa negara.

Sejarah pernah mencatatkan dalam Perang Arab-Israel 1973, Mesir mampu bekerjasama dengan Syria bagi merampas semula tanah yang dirampas Israel.

Pakatan itu turut dibantu oleh negara Arab lain seperti Iraq yang menghantar satu divisyen besar terdiri daripada 18,000 orang tentera.

Walau bagaimanapun, Perang Arab-Israel hanyalah sebuah sejarah. Hari ini negara-negara Arab sedang mengalami konflik politik dalaman yang kian meruncing.

Seakan-akan mengalami satu perancangan rapi umpama domino, negaranegara Arab menjadi lebih kacau-bilau dalam pasca Arab Spring dan menuju ke arah negara yang gagal.

Dalam isu kedaulatan Palestin, kewujudan kesatuan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Liga Arab yang sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian hanyalah tampalan kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Konflik di Palestin merupakan “multi-issues” melibatkan isu keagamaan, kemanusiaan, politik serantau serta ekonomi jauh merentasi lingkungan mazhab dan perkauman sempit.

Semua menyedari akan pencerobohan Zionis ke atas Palestin. Kerana itulah, kumpulan Hamas yang sunni boleh meminta jasa Iran sebagai republik Syiah yang mempunyai kekuatan ketenteraan bagi memberi tekanan kepada Israel dan menyokong perjuangan fraksi penentang di Palestin.

Namun, ini tidaklah bermaksud umat Islam perlu mengharapkan bantuan dari “orang luar” sahaja.
Mereka perlu berdiri dengan kaki sendiri serta saling melengkapi dan membantu dalam isu Palestin.

Menteri Pendidikan Palestin, Sheikh Ahmed Al-Najjar dari parti Hamas pernah menyebut dalam satu wacana; “Rakyat Palestin tidak mengimpikan bantuan ketenteraan dari negara umat Islam. Kami sudah ada barisan pejuang yang komited dan cintakan syahid.

“Kami juga tidak memaksa bagi meminta bantuan dari sudut material.

Namun, apa yang kami sangat dambakan daripada kamu wahai umat Islam ialah doa kerana ia senjata dan bantuan paling ampuh.”
Pada bulan mulia yang pernah mencatatkan 313 tentera kebenaran menumpaskan 1,000 tentera kebatilan, janganlah kita lupa untuk mendoakan kesejahteraan serta kemenangan mereka di sana.

>> Penulis merupakan mahasiswa Fakulti Sains, Universiti Malaya dan ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Bukan mudah melawan pembaziran

PUASA baru sahaja bermula dan umat Islam di sesetengah tempat terpaksa berdepan dengan cuaca panas sepanjang berpuasa. Bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, tidak tahan juga jadinya apabila sebelum tengah hari lagi panas sudah berbahang.

Apabila berbuka puasa, minumanlah yang menjadi pilihan utama kanak-kanak sehingga ada yang menyuruh ibu bapa menyediakan dua tiga jenis minuman sebagai penghilang dahaga. Jika dibeli di bazar Ramadan atau di mana-mana gerai, dua tiga jenis air juga yang dibeli.

Biasanya, apabila sudah kena air segelas dua, selera makan untuk nasi dan lain-lain sudah mula hilang kerana perut sudah kembung dengan pelbagai jenis air. Sudahnya, ada juadah yang tidak dimakan kemudian dibuang begitu sahaja.

Inilah antara pembaziran yang sering berlaku pada bulan Ramadan. Itu belum lagi dilihat di restoran-restoran, hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa dengan pelbagai pakej menarik. Ada yang mengenakan bayaran RM40, untuk makan sepuas hati malah ada juga yang mencecah RM100.

Di masjid-masjid dan surau, makanan dan minuman cukup banyak selepas solat tarawih. Tidak cukup mulut hendak makan kerana memang rezeki kita cukup banyak.

Pembaziran pada bulan Ramadan sukar dielak kerana kebanyakan daripada kita lebih berhambakan nafsu. Tidak ramai yang menggunakan akal sebelum berbelanja untuk berbuka puasa malah untuk menyambut hari raya.

Pembaziran akan lebih terasa jika wang ringgit banyak dihabiskan untuk berbuka puasa, bersahur dan memenuhi persiapan hari raya nanti. Jika makanan dan minuman yang dibuat sendiri dan dibeli itu tidak habis, memanglah membazir namanya.

Pembaziran ini boleh dikatakan berlaku saban tahun walaupun setiap kali tibanya bulan puasa, azam untuk tidak membazir ditanam dalam jiwa masing-masing.

Pembaziran boleh dielak jika had perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan sahaja. Walaupun ia agak sukar, tetapi di atas kertas, memang boleh kita andaikan kuantiti bahan makanan dan minuman yang diperlukan dalam keluarga atau jiran di sekeliling rumah.

Menyediakan sendiri juadah untuk berbuka lebih menjimatkan dan sukar berlaku pembaziran. Bagi yang ada masa, mereka boleh menyediakan sendiri juadah berbuka kerana kosnya jauh lebih murah berbanding makanan yang dibeli di luar.

Di samping keyakinan terhadap kualiti dan kebersihan makanan dan minuman, wang dapat dijimatkan dan boleh disimpan untuk keper­luan lain.

Pembaziran makan minum sepanjang Ramadan juga boleh dielak jika ikatan penduduk di sesuatu tempat itu kukuh dari segi kejiranannya.

Suatu masa dahulu, di kampung-kampung, amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa menjadi satu budaya yang unik dalam kalangan orang Islam. Buat sejenis kuih, hantar kepada beberapa orang jiran, kemudian kalau ada rezeki, dapatlah merasa kuih daripada jiran. Ataupun, kalau tidak dapat hari ini, esok mungkin dapat balasan daripada jiran.

Di bandar-bandar, ia boleh dijadikan satu budaya jika hubungan kejiranan penduduk sangat rapat. Ia boleh mengelak pembaziran kerana pada asasnya, sejenis atau dua jenis kuih sahaja yang disediakan, tetapi apabila tiba waktu berbuka puasa, mungkin dapat berbuka dengan tiga atau empat jenis kuih.

Malangnya, budaya ini kian terhakis termasuklah di kampung-kampung terpencil. Semua ini kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan sehingga tidak sempat hendak menyediakan juadah. Hendak berbuka sendiri pun kena beli, bagaimana hendak diberi kepada jiran.

Kemudahan mendapatkan kuih di gerai-gerai dan di bazar Ramadan turut menjadikan kita malas hendak menyediakan sendiri juadah untuk berbuka. Pelbagai jenis juadah yang boleh didapati di bazar Ramadan turut menjadi daya penarik, asalkan ada wang.

Siapa yang tidak teringin kalau melintasi bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis juadah daripada kuih-muih, minuman dan lauk-pauk untuk berbuka. Pelbagai aroma dapat dihidu yang dengan mudah menarik seseorang itu berbe­lanja di bazar Ramadan walaupun di rumah sudah ada juadah untuk berbuka.

Inilah cabaran hebat untuk mengelak pembaziran. Itu belum dikira lagi tawaran-tawaran hebat daripada gedung beli-belah seminggu dua lagi iaitu semakin umat Islam menghampiri Aidilfitri.
Taktik peniaga yang licik sering menjadikan kita lupa diri, lalai dan akhirnya terpengaruh dengan `tawaran’ mereka.

Justeru sepanjang Ramadan ini, janganlah hanya berpuasa dengan menahan nafsu makan minum di siang hari namun kawallah nafsu agar tidak menjadi penyumbang kepada pembaziran.

Minum air buah ketika sahur untuk kekal cergas

MINUM air buah semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik dalam memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada  bulan Ramadan ini, menurut pakar dietetik.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.

Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

"Sebenarnya rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.

"Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan  sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita," tambahnya.

Memandangkan bulan Ramadan kali ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya dengan cuaca yang panas dan kering, serta diburuk dengan jerebu yang tidak menentu dan ramalan fenomena El Nino akan melanda Malaysia pada pertengahan tahun ini, maka adalah perlu bagi umat Islam memastikan bekalan air dalam badan sentiasa dijaga.

Ridzoni berkata selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.

Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing, dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus, katanya.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hairil Nizam Abdul Hamid turut bersependapat pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam menghadapi musim panas ketika berpuasa.

Katanya, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.

"Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

"Apabila tubuh mengalami dehidrasi masalah utama adalah buah pinggang kerana bila tubuh kekurangan air, buah pinggang akan kecut yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah antara perkara lain yang boleh berlaku adalah pening dan pitam," katanya.

Tambah beliau, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang. - Bernama
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER