Headlines News :
Home » » Anugerah

Anugerah

Written By zabidi morad on Tuesday, 6 May 2014 | 12:48 pm

Saya selalu mimpikan Anugerah. Semenjak saya mula menjejakkan kaki ke Lembah Tandus ini,
mimpi-mimpi di malam hari, menjelmakan Anugerah. Anugerah yang saya petiakan sedalam-dalamnya, Anugerah yang saya pegang kejap dengan kedua tangan saya ini, Anugerah yang saya lekapkan ke tubuh, mendekatkan Anugerah dengan hati saya, Anugerah yang saya kucup dengan dua ulas bibir saya ini.
Namun semua itu di dalam mimpi dan tatkala saya terjaga daripada lena, saya tidak lagi menemukan Anugerah. Kadang-kala saya termenung sendirian mengapa saya belum lagi menerima Anugerah sedangkan ramai teman seangkatan saya yang sudah mendapat Anugerah. Kadang kala saya merasakan Tuhan itu tidak adil dan melebihkan teman-teman saya yang saya rasakan tidak setanding usaha dan jerih payah yang mereka lalui dibandingkan saya.
Acap kali saya melihat teman-teman saya memegang Anugerah, saya jadi sakit hati. Saya jadi cemburu dengan mereka. Saya makan hati saya sendiri serta kadang kala menyalahkan takdir, kadang kala Tuhan kerana merasakan saya yang lebih layak menerima Anugerah tetapi permintaan saya tidak pernah dikabulkan.
Setiap kali Anugerah dikecapi oleh orang lain, ramai yang bertanya kepada saya, mengapa saya belum lagi menerima Anugerah. Kadang kala saya mengesan ada nada menyindir dalam pertanyaan tersebut. Kadang kala saya beranggapan mereka hanya ingin menyakitkan hati saya yang kecil dan mudah terguris ini kerana belum lagi dikurniakan Anugerah. Kebiasaannya saya pekakkan telinga sahaja sambil mata saya ibarat ingin mengalirkan air mata darah melihat Anugerah jatuh ke tangan teman saya yang lain.
Jika perasaan kecamuk saya diapi-apikan lagi oleh bicara tajam tersebut, ada juga kalanya saya naik berang dan jengilkan mata tanda marah kepada mereka. Selebihnya adalah keping-keping hati yang berkecai jatuh ke lantai perasaan angkara tidak mendapat Anugerah.
Sebetulnya, semua orang beranggapan bahawa saya sepatutnya menerima Anugerah. Melihat bagaimana kepayahan yang saya lalui dalam perjuangan saya ini, semua orang selalu menjangkakan tangan saya yang akan menyambut huluran Anugerah daripada Penyampai di atas prosenium. Saya selalunya cuba bersikap biasa dengan tidak terlalu termakan dek pujian dan jangkaan belum tentu orang ramai meskipun bunga-bunga rasa bangga selalu sahaja mercup mekar dalam hati saya sehingga senyuman saya panjang sampai ke telinga.
Saya biasa-biasa sahaja dan sebenarnya tatkala bukan nama saya yang disebut oleh Penyampai untuk menerima Anugerah pun, saya juga buat biasa-biasa sahaja bertepuk tangan, tersenyum yang kurang sedikit sampai ke telinga serta ketawa-ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat menyedapkan hati sendiri serta melindungi gelora emosi. Jauh di sudut hati saya menangis !
Selepas realiti itu, saya selalunya memutuskan untuk tidak lagi bercakap dengan penerima Anugerah yang lain. Yang saya sifatkan merampas Anugerah daripada saya. Saya teruskan kehidupan dan perjalanan perjuangan saya seperti biasa serta menyingkirkan nama-nama mereka jauh daripada kamus peribadi saya agar saya tidak lagi beranggapan bahawa percaturan saya mendapatkan Anugerah akan mendapat halangan.
Saya berusaha lebih bersungguh-sungguh daripada biasa, saya tambahkan ramuan kegigihan serta perbanyakkan jalur-jalur ikhtiar dalam mencipta pelangi kemenangan. Saya selalu katakan pada diri sendiri bahawa ‘Kemenangan esok bukan ditentukan oleh kegagalan semalam’. Maka hasrat saya untuk mendapatkan kemenangan semakin membara dan berkobar-kobar. Impian saya untuk menggenggam Anugerah semakin bercahaya.
Namun ketika itu juga, semua penerima-penerima selalu sahaja ingin berhubung dengan saya. Bertanya saya itu dan ini, menawarkan bantuan kepada saya, cuba menolong saya menjalani perjuangan yang saya lalui tanpa mereka mengetahui bahawa saya cuba meluputkan mereka daripada ingatan saya. Saya tidak tergamak mengatakan kepada mereka ‘Jauhkan diri daripada saya’ kerana saya tahu mereka tiada salah kepada saya. Cuma saya sahaja yang cuba membina benteng jurang antara kami lantaran takutnya saya pada diri sendiri.
Kera sumbang
Takut pada kegagalan untuk sekian kalinya. Takut Anugerah terlepas lagi untuk kali ini. Maka saya memutuskan untuk membutakan mata daripada melihat mereka, membisukan kata daripada berbual dengan mereka serta memekakkan telinga daripada mendengar setiap patah perkataan yang terucap dari lidah mereka. Biarlah orang kata saya kera sumbang, hidung tinggi dan sebagainya. Misi saya hanya satu, untuk mendapatkan Anugerah!
Tetapi malam itu, saya mendapat mimpi lagi. Kali ini bukan mimpi yang serupa dengan mimpi-mimpi sebelum ini yang melenakan langsung memanjangkan pembaringan di atas katil di rumah saya. Mimpi itu seperti igauan ngeri yang mengacau tidur saya sehingga saya terjaga di tengah-tengah kepekatan malam yang saya rasakan ada semilir angin dingin-panas bertiupan. Peluh renik memercik membasahi belakang baju tidur saya malam itu. Saya jadi tidak keruan, duduk salah berdiri tidak kena.
Hendak baring dan menyambung tidur kembali, saya takut terigaukan mimpi itu sekali lagi. Akhirnya saya melangkah ke kamar mandi, membasahkan anggota wuduk dengan siraman air dari kegelapan waktu pagi yang menyejukkan tetapi tidak begitu mengamankan sebanyak tiga kali untuk setiap anggota. Lantas menapak ke tikar sembahyang menunaikan solat tahajud. Semakin saya cuba mencari kekhusyukan dalam ibadah, semakin terngiang-ngiang igauan mimpi saya di tengah solat tersebut.
Dalam mimpi itu, saya tidak menjadi penerima Anugerah. Kali ini Anugerah hidup seperti seorang manusia seperti saya. Boleh bercakap dan berjalan. Boleh memandang dan bersentuhan. Saya di dalam mimpi itu kegamaman melihat Anugerah melangkah laju menghampiri saya memegang kejap tubuh saya sebagaimana kejapnya saya memegang Anugerah dalam mimpi-mimpi saya yang lain. Tetapi saya tidak nampak wajahnya kerana wajahnya tetap sama seperti Anugerah yang bukan manusia. Suara yang didengungkannya saya tidak tahu keluar dari celah kerongkong mana dan baru saya tahu betapa kasar dan kerasnya suara milik Anugerah.
Katanya saya tidak akan pernah berjaya mendapatkan anugerah kali ini kerana kelayakan yang saya rasakan sendiri itu tidak ubah seperti seekor tikus yang membaiki labu. Bukan memperbaiki tetapi makin menjahanamkan. Kata Anugerah saya selamanya takkan menerima anugerah melainkan setelah saya berhenti menipu diri sendiri. Saya kehairanan namun keanehan itu lantas bertukar menjadi ketakutan apabila Anugerah menjadi besar dan lebih banyak tangan yang muncul keluar daripada tubuhnya dan tangan-tangan itu menarik tangan, lengan, bahu, tubuh, paha, lutut dan kaki saya ke arah tubuhnya yang besar dan agam itu.
Saya menjerit-jerit ketakutan tetapi dibalas oleh hilaian tawa Anugerah yang menggerunkan. Pelukan menjadi semakin kejap dan kemas sehingga saya sendiri terdorong menempel ke tubuh Anugerah dan tatkala pandangan mata saya dipenuhi ruangan hitam, barulah saya tersedar dalam keadaan tercungap-cungap.
Angkara mimpi yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa, perjuangan yang saya lalui, saya rasakan semakin sukar dan susah. Saya rasakan jalan yang ditempuhi semakin berliku dan saya rasakan jalan saya sahaja yang berhalangan. Jalan teman-teman saya yang lain seperti dihampar permaidani merah. Kecemburuan saya semakin menjadi-jadi. Semenjak itu saya rasakan hidup saya tidak pernah tenang tetapi tetap mengimpikan Anugerah.
Kegelisahan seperti mengekori saya ke mana-mana bagaikan bayang-bayang sendiri. Semua teman saya menyedari perubahan itu. Ada yang bertanya tanda menghulurkan simpati yang pada saya tidak lain adalah pura-pura sahaja kerana mereka tidak mahu saya merangkul Anugerah. Mereka mahu sindir saya lagi kali ini jika saya gagal menggenggam Anugerah. Saya tidak mahu mengalah. Saya tambah bertan-tan lagi ramuan kegigihan dan jalurkan berlapis-lapis lingkaran ikhtiar. Saya mahu pelangi kemenangan saya yang paling bersinar kelak.
Namun akhirnya, saya tetap bukan penerima Anugerah. Kali ini saya gagal lagi mendapatkan Anugerah. Saya sifatkan Penerima tersebut merampas Anugerah yang sudah lama saya idam-idamkan itu daripada saya. Sewaktu Penerima menaiki prosenium menerima Anugerah daripada Penyampai, saya melihat dengan api di dalam mata saya. Kali ini tidak ada senyuman sampai ke telinga. Tidak ada ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat. Tidak ada tepuk-tepuk tangan seperti biasa. Saya cuma berdiri (itupun kerana semua orang berdiri ) sambil mata saya mencerlung tajam pada Penerima yang tersengih-sengih mengangkat tinggi Anugerah yang dicapainya itu.
Hati saya sangat sebal sehinggakan saya rasa wajah saya panas dan air mata saya bagai ingin merembes laju. Tatkala wajah Penerima mencium pandangan mata saya, saya perasan ada senyuman mengejek yang dihantarnya kepada saya. Saat itu juga saya langsung angkat kaki meninggalkan arena. Igauan mimpi itu muncul secara tiba-tiba. Benarkah, nasib saya sudah tertulis malang oleh rasian yang asalnya mainan syaitan?
Semenjak pada itu, saya merasakan saya mengalami transisi dalaman yang teramat dahsyat. Bermula dengan pengurungan diri di kamar seusai waktu Isyak sehingga hening fajar menjelang, saya masih lagi mengunci diri sendiri. Saya tidak pasti apakah saya sedang berteleku mencari ketenangan ataupun mengumpul bekalan bernama kekuatan.
Yang pasti, di luar kamar semua orang sedang sibuk mengucapkan tahniah kepada Penerima di atas penyampaian Anugerah tersebut. Hati saya bertambah sakit apabila Penerima mencari-cari saya kononnya hendak meraikan kejayaan tersebut bersama-sama saya. Saya senyapkan diri di dalam bilik. Kini senarai teman untuk diputuskan hubungan menjadi bertambah dengan kehadiran Penerima. Saya akhirnya keluar meneruskan perjalanan perjuangan namun yang pasti, saya sudah tidak lagi membawa diri saya di dalam jiwa sendiri.
Barangkali saya sudah terlalu laparkan Anugerah. Minda dan hati saya sudah dibutakan oleh keinginan yang melampau untuk mendapatkan Anugerah. Saya tidak lagi meletakkan ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar dalam usaha saya tetapi saya mula dirasuk menggulati teknik-teknik yang mencemarkan pendirian. Saya mula meniru, menipu dan berbohong untuk mendapatkan natijah yang lebih baik daripada yang lain. Saya mula membuat onar dengan mendatangkan masalah kepada teman-teman saya. Saya rosakkan pakaian mereka, saya sembunyikan peralatan perjuangan mereka, saya sebarkan cerita bahawa Penerima sebenarnya merasuah Penyampai agar menjadikannya penerima Anugerah.
Lancar
Semua orang mempercayai saya kerana rekod bersih yang saya pegang selama ini serta kehidupan semua orang yang saya aniayakan menjadi berantakan. Saat itu saya rasakan sayalah orang yang paling beruntung antara semua kerana jalan yang saya lalui kini lancar tanpa masalah sedang wasilah mereka ditabur dengan duri-duri yang saya tabur sendiri. Tambahan pula tiada sesiapa yang mengetahui taktik kotor saya. Saya menjadi semakin bersemangat menggandakan penganiayaan dan memperbanyakkan taktik kotor yang saya fikir boleh melabakan diri sendiri. Saya sudah tidak kisah dosa dan pahala kerana di depan mata saya hanya ada Anugerah.
Dan akhirnya saat yang saya tunggu-tunggu menjelang jua. Saya akhirnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah. Saya tidak dapat gambarkan betapa gembira dan bangganya perasaan saya di saat saya menaiki anak tangga prosenium di mana saya sengaja menghentak-hentakkan kaki tanda kemenangan yang sudah lama saya nantikan. Dan tatkala tangan Penyampai menyerahkan Anugerah kepada saya, senyuman saya sudah melebar selebar pentas yang terbuka, tangan saya menggenggam kejap Anugerah hinggakan macam mahu kemek.
Saya dekatkan Anugerah ke dada saya ibarat mahu meletakkan ia sebahagian daripada organ dalaman dan saya julang Anugerah lebih tinggi daripada Penerima yang saya perhatikan berada dalam kalangan hadirin yang hadir yang saya wajibkan berdiri, tersenyum dan bertepuk tangan sekuat mungkin. Di kala itu saya berasa teramat puas hati!
Selepas itu, saya didatangi beberapa orang Pewaris yang saya tidak tahu kebiasaannya diletakkan di bawah semua penerima Anugerah untuk dididik dan diperturunkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi perjuangan sekali gus berusaha untuk menjadi penerima Anugerah seterusnya. Saya jadi terpempan kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana sebenarnya cara untuk menjadi seorang penghadap perjuangan apatah lagi penerima Anugerah melainkan dengan taktik kotor yang saya lazimi sewaktu saya kemaruk inginkan Anugerah.
Saya sudah lupa perihal ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar. Saya tidak mungkin menceritakan bahawa saya meniru, menipu dan menganiaya apatah lagi mengajarkan mereka teknik-teknik hitam tersebut melainkan saya akan membuka pekung di dada sendiri. Peluh debaran saya memercik-mercik apabila mereka seakan-akan mendesak saya menumpahkan tunjuk ajar.
Saya cuba meminta bantuan teman-teman lain khususnya Penerima namun mereka semua menjauhkan diri daripada saya kerana mereka beranggapan sudah tidak layak berkawan dengan saya kerana saya seorang penerima Anugerah. Tambahan pula mereka mendakwa saya yang memulaukan mereka terlebih dahulu. Saya bagaikan ingin menangis dan merayu agar mereka mendekati dan membantu saya tetapi mereka semua menjauh, memasuki kamar masing-masing dan mula mengunci wijil meninggalkan saya keseorangan memegang Anugerah bersama beberapa Pewaris yang mula merengek dan menarik-narik lengan baju saya. Sekali lagi saya didatangi bayangan mimpi saya malam itu yang menjadi titik tolak perubahan drastik saya.
Saya akhirnya faham di hadapan Pewaris akan makna ‘berhenti membohongi diri’ yang diucapkan oleh Anugerah dengan bengisnya malam itu bahawa anugerah yang sebenar adalah kurnia milik semua orang yang berusaha mendapatkan sesuatu dengan jujur setulus mungkin tanpa ada palitan kenistaan mahupun pengkhianatan dalam apa jua bentuk sekalipun. Dengan berbohong seseorang mampu mendapatkan pangkat namun sifar berkat. Dengan berdusta semua orang mampu memperoleh harta namun tiada cahaya, dengan khianat semua mampu meraih kejayaan tanpa ada sekelumit kebenaran.
Saya akhirnya sedar namun kini sudah terlambat kerana saya merenung aksara Anugerah yang tertulis megah di badannya tanpa apa-apa makna di dalamnya kerana saat itu saya bukannya seorang pemenang tetapi seorang pesalah yang sifar kelulusan, hilang teman seperjuangan, kosong maruah dan harga diri dan yang lebih walang, iman di dalam hati yang entah ke mana pergi. Air mata saya mengalir laju mengenangkan semua ini hanya kerana Anugerah!

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER