Ruangan Iklan

Sabtu, 28 Februari 2009

Demokrasi Dicincang

Oleh V.Sivakumar
Speaker, Dewan Negeri Perak.


Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang.

Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.

Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009.

Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan.

Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang.

Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan.

Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang?

Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif.

Penasihat Undang-undang Negeri Perak campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini.

Beliau memberi pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut.

Apakah kuasa yang ada pada Penasihat Undang-undang dalam menghalang persidangan dewan tergempar?

Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya?

Tindakan beliau boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia.

Beliau tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri.

Penasihat Undang-undang cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’.

Saya ingin mengingatkan beliau supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjungi tinggi di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar.

Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker.
Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan.

Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.


http://idhamlim.blogspot.com

Baca Seterusnya...

PAS Jangan Khianati Pakatan Rakyat

Oleh Rahim Kassim

Dalam kecelaruan Pakatan Rakyat berdepan dengan tindakan membabi buta Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri seperti Perak, Kedah dan Selangor, terdapat pula "tangan-tangan cabuk" dari anggota Pakatan Rakyat cuba bermain silap mata untuk menarih menafaat dari kemelut tersebut.

Timbalan Persuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, mengingatkan ahli-ahli PAS dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Harakahdaily, mengingatkan supaya ahli-ahli PAS jangan cuba menjadi tangan-tangan ghaib BN untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat (PR).

Begitu juga kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam ucapan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang juga disiarkan dalam Harakahdaily menyatakan, "ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi cuba dirungkai oleh sekumpulan pihak yang mempunyai kepentingan politik murahan".

Bakaq Hak, dalam blognya http://penarikbeca.blogspot.com/ telah menulis, "Bau busuk dari Selangor", membayangkan adanya konspirasi itu tetapi tidak menyatakan dengan jelas. Saya pun hairan juga, kenapa Bakaq menulis perkara itu secara selindung dan berkias-kias. Biasanya Bakaq, kalau bab-bab macam ini, dia "tibai" cukup-cukup.


Bagaimanapun tulisan dalam www.malaysiawave.com/ telah melakarkan dengan jelas dan terang bahawa terdapat dikalangan pimpinan PAS Selangor yang jadi anggota Dewan Undangan Negeri, sedang memasang angan-angan untuk menggantikan tempat Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, sekiranya dakwaan SPRM itu lekat.


Tidak cukup dengan pasang angan-angan, mereka lambakkan nafsu busuk itu dalam satu kenyataan resmi yang dikeluarkan oleh PAS Selangor. Mereka menyatakan simpati yang amat sangat terhadap musibah yang menimpa Tan Sri Khalid akibat laporan SPRM itu. Seolah-olah nampak macam betul-betul Tan Sri Khalid akan tersingkir dari jawatan Menteri Besar; sedangkan mereka itu semua tahu bahawa tindakan SPRM itu tidak lebih dari peluru kosong yang ditembak oleh UMNO dan BN.


Masa saya baca kenyataan PAS Selangor itu, yang disiarkan dalam satu halaman blog (saya lupa nama blog itu), saya tutup muka saya kerana malu membacanya.


Saya tidak tahu apalah perasaan orang yang mengeluarkan kenyataan itu? Lebih-lebih lagi bila Baginda Sultan Selangor telah mengeluarkan kenyataan yang tidak menampakkan menyalahkan Tan Sri Khalid dalam kes tersebut.


Dalam perkara ini bukan sahaja soal malu dan aib yang timbul bila perancangan telah terbongkar, tetapi yang paling utama ialah soal "khianat". Kalaulah benar seperti yang didakwa oleh Timbalan Persuruhjaya PAS Selangor, ahli-ahli PAS jangan jadi tangan ghaib untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat, perkara ini harus diambil peduli secara serius oleh pimpinan Pakatan Rakyat terutama pimpinan PAS.


Ini melibatkan soal maruah PAS. PAS setakat ini dipandang tinggi oleh masyarakat kerana tidak terlibat dalam hal-hal yang memburu kepentingan diri. PAS harus bertindak segera untuk mentiadakan pemimpin-pemimpin yang besifat sedemikian.


Sebelum ini saya juga ada menulis, PAS bebas untuk berkerjasama dengan siapa sahaja yang difikirkannya boleh membawa kebaikan kepada Islam. Tetapi membuat khianat terhadap ikatan yang telah dipersetujui, adalah satu perbuatan yang sangat jahat




Baca Seterusnya...

Siapa Exco Kedah derhakai Raja?

Oleh Zulkifli Yahaya


Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat muncul bersama gerombolan ‘nangoi-nangoi’ Umno umum akan membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah kononnya Exco tersebut menghina Sultan.

Ia berdasarkan surat layang yang mendakwa Exco tersebut menghina Sultan. Begitulah rendahnya mutu berfikir Pemuda Umno, membuat dakwaan berasaskan surat layang. Jika polis dibenar untuk dibebankan menyiasat isi kandungan surat layang maka eloklah semua surat layang perihal kebejatan pemimpin yang tersebar luas waktu pilihanraya umum dan sewaktu pemilihan Umno sekarang ini dirujukkan ke balai polis. Terpaksalah pula polis mewujudkan sebuah unit khas untuk menyiasat surat layang.

Apa yang dilakukan oleh Haris dan gerombolannya adalah senario semasa yang sedang melanda Umno di seluruh negara iaitu wabak ‘report polis’. Atas pelbagai isu, pemimpin dan ahli Umno berulang-alik ke balai polis di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Secara bergurau seorang sahabat berkata, “Dulu, masa jadi kerajaan Umno sibuk dok hurung projek, bila jadi pembangkang sibuk hurung balai polis, aku ingat simbol keris pada Umno patut diganti dengan simbol balai polis.”

Kebetulannya isu derhaka yang dicetuskan oleh Pemuda Umno Kedah itu berlaku sehari selepas calon Timbalan Presiden Umno, Dato’ Ali Rustam mencetuskan kontroversi dengan mengadakan ‘ceramah politik’ di hadapan Tuanku Sultan Kedah dalam majlis Pelancaran Buku Semangat Keris Melayu. Agak memalukan kerana dia hadir berucap sebagai Presiden Dunia Melayu Dunia Islam, tetapi memberi ucapan seolah-olah berkempen untuk memenangi jawatan penting dalam Umno. Apabila Ali berucap di hadapan Sultan Kedah yang terkenal sebagai seorang raja yang bersikap adil terhadap rakyatnya, maka ucapannya jadi sumbang serta tidak disenangi oleh ramai hadirin.

Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh yang turut hadir mewakili Menteri Besar antara yang tidak senang dengan ucapan Naib Presiden Umno itu lalu membidas, “Memang realiti semasa dalam Umno menunjukkan bahawa Ali telah ketinggalan dari segi sokongan terhadapnya, tapi amat tidak wajar untuk dia ‘meracau’ dalam program seperti ini untuk menaikkan saham dirinya.”

Di samping menyiarkan kecaman Dr. Ismail dalam laman web Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, saya turut menyiarkan petikan tulisan Mohd Fadli Ghani perihal perderhakaan Presiden Umno yang pertama, Dato’ Onn Jaafar terhadap Sultan Kedah iaitu Tunku Badlishah ayahanda kepada Sultan Abdul Halim yang memerintah Kedah sekarang.

Fadli menulis, “Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah (Tunku Badlishah) dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union.

“Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Presiden Umno, Dato’ Onn sekali lagi menderhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan.

“Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato’ Onn menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

“Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai ‘kacang lupakan kulit’ dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato’ Onn meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949.”

Rupanya, kisah sejarah yang disiarkan dalam laman web rasmi Urusetia Penerangan itu mendapat sambutan sangat baik dari pembaca. Mereka mencadangkan supaya catatan perderhakaan Umno disenarai dan disebarkan seluas-luasnya. Biar mereka tahu dalam catatan sejarah Umnolah yang paling banyak menderhakai Sultan.

Haris Che Mat dan para Pemuda Umno masih di alam kanak-kanak sewaktu Dr. Mahathir dan Umno mengadakan road show ke seluruh negara pada tahun 1983 bagi meminda perlembagaan untuk membuang kuasa raja-raja. Mereka tidak tahu perihal Tengku Ibrahim ‘ditabalkan sebagai Sultan Kelantan’ oleh Umno setelah BN kalah kesemua kerusi di Kelantan pada pilihnraya umum ke lapan. Mereka masih ‘kanyak’ untuk memahami tindakan Umno meminda perlembagaan pada tahun 1993 bagi membuang kuasa raja-raja. Ia didahului dengan perang saraf yang bertalu-talu oleh media talibarut BN mendedahkan keaiban raja-raja Melayu. Berminggu-minggu pihak istana dilondehkan.

Sultan Kedah antara yang teruk diaibkan. Almarhum Dato’ Fadzil Noor antara tokoh yang lantang menentang tindakan biadap Umno terhadap raja-raja. Ke mana Sultan Kedah pergi, orang PAS datang berpusu-pusu bertemu baginda. Dalam satu majlis di Masjid Zahir, Alor Setar, keberangkatan baginda disambut ribuan penyokong PAS dengan laungan takbir dan Daulat Tuanku. Baginda sampai menitiskan air mata terharu. Sebab itulah tidak pelik jika Ustaz Fadzil satu-satunya tokoh yang menerima anugerah Dato’ sewaktu menjadi pembangkang.

Hari ini jika isu derhaka diputarkan oleh piring hitam karat Umno, ia hanya mampu membakar semangat Pemuda dan Puteri Umno yang tidak pernah menelek kitab sejarah. Veteran Umno yang jujur dan tidak memutarbelitkan peristiwa lalu seperti Tengku Razaleigh dan Tun Dr. Mahathir, setakat ini masih berani bercakap benar sekalipun terdapat ramai pemimpin Umno yang berpura-pura lupa. Melayu Umno mungkin mudah lupa, tetapi sejarah tidak pernah berbohong.

Baca Seterusnya...

Kitar Semula Plastik Dan Orang Politik

Oleh A Kadir Jasin

KITAR semula tidak begitu berleluasa di Malaysia. Kempen-kempen menggalakkan masyarakat mengamalkan kitar semula kurang mendapat sambutan.


Banyak pusat kitar semula terbengkalai dan dipenuhi sampah sarap. Sifat pengotor dan tidak disiplin rakyat Malaysia menyebabkan botol dan beg plastik serta tin aluminium bersepah di merata tempat.

Majoriti rakyat Malaysia Muslim. Islam mengajar umatnya bersih, berdisiplin dan beradab. Tetapi kedai dan gerai makan milik orang Islam jarang mengutamakan kebersihan.


Di Terengganu, saya terbaca papan tanda berbunyi “kebersihan sebahagian daripada iman”. Tetapi tandas di banyak masjid dan surau kotor sehingga kita tidak tergamak menggunakannya.
Kitar semula bahan-bahan buangan baik untuk alam sekitar dan boleh membantu menjaga kebersihan di samping memberikan pendapatan tambahan. Jadi kita perlu meneruskan kempen kesedaran alam sekitar, kebersihan dan kitar semula ini.

Tetapi kitar semula yang tidak digalakkan kerana boleh memudaratkan adalah kitar semula orang politik atau orang pentadbiran awam.

Kalau diperlukan pun, biarlah kitar semula setakat untuk menjadi penasihat, ahli nujum, pawang buaya dan penghalau hantu raya sahaja. Jadi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri tak payahlah.

Ketika saya membesar di pinggir Sungai Pendang pada tahun 1950-an, buaya masih banyak. Justeru itu, pawang buaya atau sesiapa saja yang memperkenalkan diri sebagai pawang buaya pasti dihormati.

Satu kepercayaan orang kampung mengenai buaya ialah jangan sekali-kali membasuh kelambu dalam sungai. Kononnya buaya cukup marah kelambu dibasuh di dalam sungainya. Agaknya bau manusia pada kelambu mudah dikesan oleh buaya.

Berbalik kepada kitar semula, jenis kitar semula yang kita tidak mahu adalah kitar semula untuk menjadi peneraju parti politik atau Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan jawatan-jawatan seumpamanya.

Ada orang kata ramai calon Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan bulan depan adalah calon kitar semula. Kalau kitar semula emas atau tembaga tak apalah. Tapi kalau setakat plastik dan botol buruk tu tak payahlah kot.

Saya ada seorang member teh tarik di Raju yang bergiat dalam industri kitar semula. Dia budak muda Melayu berkelulusan kejuruteraan. Katanya dia lebih banyak kitar semula tembaga dan logam-logam yang bernilai tinggi.

Baru-baru ini dia rugi besar. Harga besi buruh merudum daripada RM1,800 setan kepada RM800 dan tembaga daripada RM27 sekilogram kepada RM11.50. Sekarang dia buat eksperimen bela ayam turki di Bukit Gantang, Perak.

Saya tidak berani hendak kata calon kitar semula Umno itu daripada jenis plastik, kaca, aluminium, besi waja, tembaga atau emas. Papan litar komputer (printed circuit board) kalau dilebur boleh menghasilkan emas.

Kita semua tahu antara calon MT Umno tu ada bekas Menteri, bekas Ketua Menteri dan Menteri Besar, bekas Menteri Besar yang dikitar semula menjadi Menteri, Menteri Besar yang hilang negeri dan banyak jenis mantan lagi.

Rasa-rasanyalah banyak yang sudah tidak boleh digilap dan digunakan semula. Pakailah banyak mana Brasso pun tidak bersih dan berkilat lagi. Orang kampung kata dah lebam. Sudah sampai masa dilebur atau dimasukkan ke dalam loji pelupusan sebagai bahan bakar.

Dalam itu pun, elok juga kita berhati-hati bila membuang barang-barang lama. Sekarang barang-barang lama yang tergolong dalam kategori antik sangat berharga.

Di rumah ayah dan emak saya ada sebuah katil besi pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun. Bila digilap dengan Brasso masih berkilat. Tapi kalau digunakan dengan lasak, ia berbunyi sana sini. Maklumlah katil lama. Nak kurangkan bunyi, jangan tidur lasak atau selalu masukkan pada celah-celah penyambungnya minyak pelicin Singer.
Brasso untuk mengilat logam

Saya rasa setelah melihat apa yang terjadi kepada Umno dan Kerajaan Barisan Nasional selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, parti-parti seperti Pas dan DAP tidak akan tergesa-gesa membersarakan veteran mereka macam Nik Abdul Aziz Nik Mat (78 tahun), Lim Kit Siang (68) dan Karpal Singh (67).

Orang tua kita kena hormat. Jadi saya tidak setujulah orang tua cacat macam Karpal dikasari apatah lagi di Parlimen.

Maaf cakaplah orang kita, khasnya yang muda-muda tu, nampaknya tidaklah matang seperti yang didakwa.

Harap-haraplah Parlimen kita tidak jadi macam Parlimen Taiwan di mana mereka nampaknya lebih kerap bertinju dan berkuntau daripada berdebat secara waras dan bijaksana.

Akhir kalam, sokonglah kempen kitar semula bahan-bahan buangan, terutamanya plastik. Plastik amat buruk kepada alam sekitar. Saya harap dalam masa terdekat ini kita boleh mengurangkan atau menjimatkan penggunaan plastik.

Baca Seterusnya...

Tindakan Biadap Pemuda UMNO Mengecewakan!

Oleh Anwar Ibrahim

Semalam saya menerima undangan makan tengah hari bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia di kediaman beliau. Saya kembali ke Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid di Pejabat Ketua Pembangkang.

Sejurus kemudian saya diminta segera turun ke Dewan kerana saudara Karpal Singh mengemukakan bantahan atas tekanan dan ugutan oleh pimpinan Pemuda UMNO Selangor. Saya terkejut dengan gelagat sebahagian ahli parlimen UMNO-BN yang memandang enteng serangan tersebut malah melalak menafikan ruang untuk saudara Karpal dan rakan lainnya berhujah.

Dalam keriuhan tersebut saya bangun dan diberikan ruang oleh Speaker. Saya tidak menuding kepada ahli parlimen UMNO. Namun mereka harus waras dan matang mengecam kebiadapan menodai kemurnian kawasan Parlimen. Kita berhak berbeda pendapat secara sopan tetapi tidak pantas bertindak kasar dan ganas.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin memberikan jamninan bertindak. Maka kami keluar untuk memberikan kenyataan bersama kepada media. Dan selanjutnya ke pejabat Speaker menggesa beliau bertindak segera secara tegas.

Maka berakhirlah satu lagi babak keji dalam sejarah Parlimen - bersambung dari drama pembunuhan, ugutan, penculikan, rasuah dan akhirnya hingga ke kawasan Parlimen





Baca Seterusnya...

PPSMI: Kenapa diikuti politikus gila kuasa?

Oleh LanH

Seekor anjing adalah lebih baik daripada seorang sahabat yang jahat. Demikian saya terbaca kata-kata seorang cendekiawan dalam sebuah buku. Ini bermakna seseorang itu perlu pandai memilih kawan, jika baik kawannya, baiklah dia dan jika buruk kawannya itu buruklah dirinya.

Sebuah hadis ada menyatakan jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kewangiannya akan meresap ke diri kita manakala jika kita berkawan dengan tukang besi, bau yang kurang enak akan mengenai kita.

Demikianlah semasa menghadiri Kongres Pendidikan Rakyat tidak lama dulu, saya memperolehi butir-butir permata yang dikemukakan oleh dua sarjana dari sebuah universiti tempatan.

Kedua-duanya memperkatakan isu yang hangat sekarang - sekolah agama rakyat (SAR). Buah fikiran mereka amat penting kerana jarang tokoh akademik lantang bercakap mengenai isu ini. Yang kerap kita dengar pandangan tokoh politik yang kadang-kala dianggap berpihak kepada kumpulannya.

Dalam menghadapi kemelut isu SAR, cendekiawan Melayu-Islam ini melontarkan idea agar diadakan Konvensyen Pendidikan Alternatif yang diterajui oleh PAS.

Mereka melihat sumbangan SAR daripada sejak zaman sebelum merdeka dan kini boleh dilanjutkan lagi dengan mencatat sejarah dalam memenuhi keperluan kebangkitan rakyat.

Kata mereka berdasarkan sekatan ke atas pelajar SAR daripada menduduki peperiksaan awam, Konsortium Pendidikan Alternatif yang terhasil kemudiannya, boleh mengusahakan Majlis Peperiksaan sendiri yang bukan saja akhirnya diiktiraf dalam negara tetapi juga di seberang laut. Ini akan menjadi kenyataan jika peperiksaan umum yang dikendalikan konsortium ini lebih tinggi mutunya daripada yang ada sekarang.

Kata mereka semua ini boleh dibuat kerana wujudnya apa yang dinamakan pendemokrasian pendidikan di negara ini.

Berdasarkan senario pendidikan yang kucar-kacir hari ini, mereka mencadangkan agar dikembalikan persoalan pembangunan pendidikan kepada negara.

Hari ini terlalu banyak 'politiking' dalam dunia pendidikan sehinggakan bidang yang amat penting ini sudah terlalu bersifat komersial. Dengan wujudnya ratusan kolej universiti swasta, pendidikan seolah-olah bukan lagi milik negara tetapi usahawan yang mengusahakan institusi pengajian berkenaan.

Cendikiawan berkenaan juga mahu Falsafah Pendidikan Negara dijayakan manakala ilmu wahyu dijadikan teras dalam sistem pendidikan. Dengan ini diharapkan akan lahir ilmuan seimbang. Jika dia seorang doktor, dia akan menjadi doktor yang jujur dan jika dia seorang jurutera, dia seorang jurutera yang beriman.

Mereka juga mendesak agar urusan pendidikan diserahkan kepada ahli-ahli dalam bidang ini dan bukannya dirosakkan oleh segelintir ahli politik dan ekonomi yang gila kuasa.

Selain itu, mereka juga mahukan keadilan untuk rakyat dalam mendapatkan pendidikan manakala kualiti pendidikan itu sendiri perlu dipertingkatkan.

Selaras dengan pendemokrasian pendidikan dan jaminan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai bahasa ibunda, cendekiawan berkenaan juga bertanya mengapa sekarang ini ada usaha untuk menghalang orang Melayu daripada belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda.

Berdasarkan halangan inilah mereka berpendapat usaha perlu dilipat-gandakan bagi menjadikan sekolah agama rakyat sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam bahasa Melayu pada masa depan.

Mereka percaya kegemilangan sekolah agama rakyat akan berulang. Jika dulu, ia melahirkan pahlawan kemerdekaan, kali ini ia akan melahirkan pahlawan kebangkitan rakyat.

Cendekiawan ini berpandangan alasan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik kebanyakannya adalah fitnah.

Misalnya alasan kononnya jika pembelajaran digunakan dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mudah menerima perubahan terkini dalam bidang itu, tidak dapat diterima kerana hampir semua perkara asas yang dipelajari tidak berubah dari dulu sampai sekarang.

Hampir 80 peratus perkara asas dalam Matematik adalah ciptaan tamadun Islam manakala dalam bidang Sains pula adalah sebanyak 60 peratus. Yang berlaku sedikit sebanyak perubahan adalah pengajian di peringkat sarjana dan PhD. Dipercayai pelajar tidak menghadapi masalah kerana asas mereka sudah mantap melalui pengajian sehingga ke peringkat sarjana muda.

Dakwaan kononnya pelajar berpendidikan Melayu tiada daya saing juga tidak dapat diterima kerana sejak sistem pendidikan kebangsaan dilaksanakan, ribuan lulusan universiti tanah air dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bersaing dengan pelajar asing. Universiti ini termasuklah di Eropah dan Amerika.

Demikian, banyak lagi alasan tidak dapat diterima menyebabkan cendekiawan ini mencadangkan agar sekolah agama rakyat diperkasa bagi menggembalikan kegemilangan keilmuan dunia Melayu-Islam.

Baca Seterusnya...

Binatang di ruang legar parlimen

Oleh Afrar Yunus

Jangan terkejut jika peristiwa Mumbai boleh berlaku di parlimen Malaysia. Kawalan keselamatan yang lintang pukang, polis dan pengawal keselamatan ada serupa tidak ada. Sesiapa sahaja boleh bolos.

Apa yang menghairankan, macamana bintang-binatang bertopengkan manusia boleh berada di parlimen. Apa kerja mereka di sana.


Keluhuran undang-undang konon.

Kita nak tengok ada undang-undangkah yang boleh mendakwa manusia tidak bertamadun di parlimen yang menyerang pembangkang dua hari sudah.

Apa kata jika Najib diserang begitu ?

Hashamuddin dan Abdullah perlu memohon maaf. Jika tidak mereka boleh digolongkan manusia tidak bertamdun yang gagal mengawal anak-anak buah mereka.

Dulu, parlimen adalah institusi tertinggi negara. Sekarang parlimen menjadi tempat 'berak' pemuda UMNO yang tidak ada kerja. Di ruang legar parlimen pun ada semacam binatang-binatang.

Mentaliti pemuda UMNO dan Mat Rempit sama sahaja. Tak tahu nak beza parlimen dengan tandas.

Orang Kedah kata, "depa ingat parlimen tu tandas bertingkat keluarga pak depa"

Baca Seterusnya...

Samseng dan budaya samseng perlu dinyahkan

Oleh Roslan SMS Corner

Saya memang melihat gelagat Karpal Singh, ahli politik veteran Negara sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan. Jika diusia muda dahulu beliau memang keras dan berani tetapi nampak gaya sampai ke maghrib usianya pun begitu juga malah semakin menjadi.

Karpal pernah berkali-kali dihalau keluar dewan samada Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang. Saya masih ingat berpuluh tahun lalu apabila beliau enggan keluar dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang apabila diarahkan oleh Speaker berbuat demikian. Datuk Zaman Khan yang ketika itu Ketua Polis Pulau Pinang perlu diarahkan masuk ke dewan bagi mengangkat beliau keluar. Karpal melontar ke lanati “briefcase” nya dan minta Zaman mengangkatnya sebelum mengiringi beliau keluar.

Tetapi sekarang Karpal sudah tua. Dan ekoran kejadian kemalangan di hadapan rumahnya beberapa tahun lalu beliau kini berkerusi roda setelah lumpuh sebahagian badan. Sepatutnya beliau sudah semakin matang tetapi tidak walaupun fizikalnya begitu tetapi Karpal tetap mahu garang-garang.

Walaupun saya tidak dapat bersetuju dengan banyak dari kenyataan dan pandangan beliau kebelakangan ini namun apa yang berlaku terhadap beliau di Parlimen semalam tidak dapat saya terima. Gelagat samseng Pemuda Umno Selangor dan Wilayah dibangunanParlimen semalam terhadap beliau dan beberapa ahli parlimen pembangkang sangat dikesali. Bukankah Parlimen bangunan dimana di dalamnya dasar dan undang-undang Negara digubal dan dibikin. Institusi keramat ini sepatutnya dihormati dan dipelihara oleh semua pihak sebagai simbol kedaulatan dan kemerdekaan Negara.

Tetapi tidak. Di bangunan ini juga ada pihak mahu bertindak menunjuk samseng. Saya masih ingat peristiwa sebelum pilihan raya dahulu dimana Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato Mustapha Ali ditangkap dan dikasari di bangunan berkenaan. Bermakna bukan hanya Pemuda Umno malah polis pun kadang-kadang macam samseng juga.

Berbalik kepada isu ini, apa yang berlaku semalam ternyata akan menjadi kudis yang kelak membesar sebagai pekung dan menjahanamkan tubuh Umno yang sudah pun berpenyakit itu. Umno bukan baru dalam hal bertindak samseng ini. Dalam pilihan raya kecil Ijok dahulu beberapa ahli PAS telah dibelasah sehingga hampir mati semata-mata kerana isu poster dan kain rentang. Tan Sri Khalid bertanding lawan Parthiban, tetapi yang menggila samseng adalah Pemuda Umno sehingga tergamak hampir membunuh saudara seagama dan sebangsa!

Lebih 20 tahun lalu dalam satu pilihanraya kecil, di FELDA Lubok Merbau, Pendang, Kedah. Seorang hamba Allah ahli PAS bernama Othman Talib telah dibelasah teruk oleh pasukan Pemuda Umno semata-mata kerana berjaga mengawal poster PAS yang bertanding melawan Umno ketika itu. Peristiwa itu berlaku berhampiran tempat ceramah Umno selepas selesai majlis yang dihadiri Timbalan Presiden Umno kini, Najib Tun Razak. Jika tidak silap Najib ketika keluar dari kawasan itu melihat kejadian tetapi berlalu tanpa melakukan apa-apa. Othman terbunuh “syahid” akibat kejadian tersebut!

Jadi PAS telah biasa menjadi mangsa kepada kebiadaban dan taktik samseng Umno ini, bukan sahaja biasa malah sampai ada yang terkorban akibatnya! Lantas sesuatu perlu dilakukan terhadap samseng-samseng ini agar mereka memilih samada mahu berpolitik atau mahu menjadi jaguh gusti atau tinju. Polis wajib bertindak. Bangunan Parlimen bukan tempat untuk mengugut atau mencetuskan kekacauan. Saya khuatir isu ini cuba dimainkan sehingga meletus menjadi isu perkauman sedangkan ia akibat perlakuand an tindakan individu.

Untuk berlaku adil “Singh is king” juga perlu didisiplinkan. Sebagai ahli parlimen veteran beliau perlu lebih matang dan bijak, behati-hati dan sentiasa memelihara adab. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Dan bumi serta langit yang kita pijak dan junjung ini tidak memerlukan samseng dan mereka yang berbudaya samseng.

Baca Seterusnya...

Khamis, 26 Februari 2009

Khalid Dedah Jangan Tak Dedah, SPRM Siasat Jangan Tak Siasat

Oleh Mohd Sayuti Omar

MAKIN dekat perhimpunan agung Umno, Mohamad Khir Toyo nampaknya makin resah dan terjempit. Semuanya berlaku seperti dirancang, tetapi yang nyatanya ia kerana kurang waspada Khir Toyo sendiri. Kerana terlampau syok sendiri kok, maka strategi memakan diri.

Sepatutnya Khir Toyo dalam keadaan sekarang ini menjaga diri dan apa-apa mengenai keperluannya untuk bertanding merebut jawatan ketua pemuda Umno bukannya ikut-ikut sama tumpang semangkok untuk membawa Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim ke mahkamah. Khir sepatutnya mengawal diripada diattack oleh mana-mana pihak. Kesan serangan itu nanti menyebabkan ia menjadi modal pula kepada Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir untuk memburuk dan damege Khir.

Soal lembu dan kerena Lexus persendirian itu, biarlah diserahkan kepada Gerak dan orang-orang yang berpenasaran di belakangnya. Tetapi nampaknya Khir telah tersilap langkah hari ini apabila dia ikut sama medesak dan meminta Khalid 'dipenjara' ia dikira memberi mata kepadanya, sebalik sudah jadi terbalik.

Tertakdirlah SPRM mendakwa Khalid dan Khalid dipenjara apakah yang Khir dapat manfaat dari itu? Pewakilan pemuda Umno tidak melihat ianya kejayaan peribadi Khir. Isu Khalid tidak ada kena mengenai penjawatan ketua pemuda. Itu adalah tanggungjawab awam. Lagipun amat buruklah kalau kita berhajat untuk berniaga mayat! Tidak gentleman.

Sebab itu kita jangan sangka dan mudah terperasaan diri kita saja yang cerdik, tetapi dia orang lain juga cerdik sama, bahkan mungkin lebih cerdik dan pintar dari apa yang kita fikirkan. Banyak permainan dalam hidup ini, apa lagi dalam game bernama politik. Jangan fikir selapis dan secara harfiah. Kena menyelami setiap apa yang berlaku dan dilakukan. Ianya ada rahsia tentu! Politik itu sendiri mempunyai makna berlapis-lapis dan kitab rujukan juga banyak.

Khir goyang kaki bila mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat ledakan dengan memberi tahu dunia pihaknya ada bukti kukuh yang Khalid akan didakwa di mahkamah. Seronok betul Khir dengan kenyataan Ahmad Said Hamdan itu. Walaupun kenyataan itu Khir sendiri tahu ianya condong ke satu pihak tetapi kerana ia menguntungkan perniagaan Khir maka kenyataan itu disokong.

Khir lupa kepada diri sendiri. Dia sepatutnya tidak perlu menjadi jaguh cuba membenteras rasuah tetapi perlu ingat kepada penyakit rasuah yang menimpa dirinya. Laporan-laporan rasuah yang dibuat ke atas dirinya sepatutnya menyedarkan dia dan dia perlu mendiamkan diri dari bercakap soal rasuah. Bercakap rasuah umpama Khir mengusik harimau yang sedang tidur.
Kalau kita tidak benar-benar bersih jangan sesekali cuba hendak menjual sabun kepada orang lain. Kena sabun dan makan sabun untuk diri sendiri dulu sampai najis kita juga bersinar dan bersih baru boleh ciuba-cuba menjual sabun.

Segalanya kini sudah terjawab dan ia sedikit sebanyak menganggui Khir Toyo. Khalid Ibrahim sudah mula bertindak membela dirinya dengan melepaskan peluru liar termasuk kepada Khir Toyo sendiri. Khalid tidak ada pilihan lain melainkan kena menutup mulut yang mengangga ke arahnya.

Pendedahan berhubung pembayaran jualan bangunan di Makkah bernilai RM17 juta oleh seorang individu yang dibuat tanpa resit atas nama Khir Toyo dilihat sebagai getah cair panas untuk menutup mulut dan mata Khir.

Memahami pendedahan isu pembelian hartanah di Makkah oleh Perbadanan Permodalan Negeri Selangor (PBNS) semacam mahu mengenakan Khir saja.

Senerio yang didedahkan tetah berlaku pembayaran tanpa resit hasil penjualan 12 unit hartanah di Makkah. Apa yang peliknya resolusi yang dikeluarkan oleh Pengarah PNSB pada 14 September 2007 meluluskan pembelian lima unit hartanah dengan harga RM8,352,427.6 sedangkan menurut rekod PNSB menujukkan berjumlah RM25,603.5454 telah dibayar kepada individu di Arab Saudi pada 17 September hingga 19 September 2007.

Apakah erti pendedahan ini semua kalau bukan untuk tidak menyakitkan Khir Toyo yang sedang berhadapan dengan dua perebut lain Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir. Sebelum membuat pendedahan itu Khalid telah mengarahkan dua eksekutif PBSN bercuti sebulan untuk menyenangkan penyiasatan. Siapa yang Khalid hendak buru dan siasat?

Dengan ada pendedahan oleh Khalid kini dan juga cadangan pihak tertentu nak buat laporan semua mengenai dakwaan rasuah ke atas Khior ia memberi peluang kepada SPRM untuk berlaku adil. Kalau SPRM telus, tangkas menyiasat, hendak hendak mendakwa Khalid, maka hendaknya juga PSRM tangkas dan rajin untuk melakukan hal yang sama ke atas Khir.

Kalau SPRM hanya ghairah nak siasat dan dakwa Khalid saja maka jelas SPRM sudah tidak adil dan benarlah maka jadilah SPRM seperti 46 ekor lembu yang disiat itu. Jangan pula hendaknya selepas ini SPRM dikenali sebagai suruhanjaya lembu kerbau.

Kes Khir ini perlu disegerakan memandangkan beliau akan tading ketua pemuda Umno Mac depan. Jika lewat ia boleh menganggu dan mengelirukan perwakilan Umno terhadap Khir. Silap-silap hari bulan perwakilan akan beranggapan bakal ketua pemuda Umno tidak bersih dan kaki rasuah.






Baca Seterusnya...

Ibrahim Ali, PAS kata pergi, Umno kata mari?

Oleh : Mat Zain Mat Isa

Kebelakangan ini semakin ketara keserasian antara Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dengan para pemimpin Umno. Dalam banyak hal, hujah dan pendirian beliau sealiran dengan parti yang telah menggantung keahliannya seumur hidup itu.

Keadaan itu sekaligus menjadikan pemimpin yang telah beberapa kali bertukar parti itu semakin tersasar daripada halatuju PAS, parti yang meminjamkan simbol dan membantu kemenangan mudah kepadanya dalam pilihan raya umum lalu.

Beberapa ucapan Ibrahim, sama ada di Dewan Rakyat atau di luarnya sejak akhir-akhir ini, terutama menyentuh Pakatan Rakyat, bukan sahaja tidak sealiran dengan PAS, malah menguntungkan Barisan Nasional (BN).

“Ibrahim bukan sahaja membangkang Umno dan Barisan Nasional, tetapi dia juga membangkang kita (PAS). Sebagai contohnya semalam (19 Februari) di Parlimen dia telah bertekak dengan Ahli Parlimen yang merupakan wakil PAS sendiri,” keluh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, Jumaat (20 Februari) lalu.

Menurutnya, jika pun Ibrahim yang telah mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen Bebas tidak berkongsi pandangan dengan PAS dalam sesuatu perkara, dia tidak wajar menyerang parti itu kerana ia bertentangan dengan prinsip persefahaman yang dipersetujui sebelum ini. Apatah lagi beliau menang dulu atas laluan diberikan PAS.

“PAS memberi laluan kepadanya (Ibrahim) atas pertimbangan dia sudah insaf dan boleh bersama dengan kita, tetapi sebaliknya yang berlaku,” ujar Takiyuddin.

Beliau mengulas tindakan terbaru Ibrahim yang bukan sahaja bertegang urat dengan wakil-wakil Pakatan di Parlimen, malah sanggup mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong minggu lalu, Ibrahim sekali lagi mencemarkan kesucian Dewan dengan perkataan-perkataan seperti ‘bangsat’, ‘anjing’ dan ‘beruk’. Lebih mengecewakan, label berkenaan ditujukan kepada dua wakil Pakatan, N. Gobalakrishnan (Keadilan-Padang Serai) dan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam).

Keceluparan Ibrahim itu menyebabkan sebahagian besar wakil Pakatan bangun meninggalkan Dewan. Manakala beberapa Ahli Parlimen BN dilaporkan menyokong ucapan beliau.

Insiden itu bukan kes pertama Ibrahim menzahirkan pertembungan sikap dan pendirian dengan Pakatan. Sudah beberapa kali sebelum itu beliau mengkritik secara terbuka perjuangan parti-parti pembangkang secara amnya dan peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara khususnya.

Tindakan Ibrahim itu bukan sahaja tidak disenangi para pengundi Pasir Mas yang bertanggungjawab memenangkannya, malah mensesiakan pengorbanan PAS yang sanggup membelakangi kehendak ahlinya sendiri di kawasan berkenaan.

Di atas rasa kesal itu, PAS Kelantan meminta Ibrahim secara bermaruah meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen.

“Keputusan itu (minta Ibrahim berundur) bukan daripada (peribadi) YB Takiyuddin, tetapi itu mesej PAS negeri (Kelantan), kerana (Ibrahim) menikam PAS daripada belakang,” Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan.

Nasib nampaknya sedikit menyebelahi Ibrahim apabila kelantangannya terhadap Pakatan disenangi para pemimpin BN. Bukan sahaja ucapannya yang menseranah wakil Pakatan di Dewan disokong wakil BN, kecaman PAS terhadap Ibrahim juga disanggah para pemimpin Umno.

“Jangan salahkan dia (Ibrahim) kerana awal-awal lagi dia tidak memihak kepada sesiapa pun, berkecuali dan tidak memihak kepada PAS,” ulas Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Lebih menarik lagi apabila beberapa pemimpin kanan Umno Bahagian Pasir Mas sendiri mengalu-alukan tindakan beliau itu.

“Biar pun Ibrahim bukan ahli Umno dan pernah bersama dalam gerakan PAS, tetapi dalam keadaan sekarang, selaku Ahli Parlimen, beliau memenuhi tanggungjawabnya,” puji Timbalan Ketua Umno bahagian itu, Johan Che Pa.

Ibrahim dilucutkan daripada jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keahliannya seumur hidup daripada parti itu ekoran tindakannya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-11, Mei 2004.

“Kami di Pasir Mas tidak ada masalah untuk menerimanya (Ibrahim) dan berharap kepimpinan parti boleh menerima beliau semula,” rayu Ketua Pemuda Umno Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman.

Reaksi-reaksi tadi meletakkan Ibrahim pada posisi umpama ‘PAS kata pergi, Umno kata mari’.

Baca Seterusnya...

Bila : Harga petrol dan barang keperluan turun

Oleh Afrar Yunus

Adakah tindakan Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia sekarang untuk meninggalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada Mac akan datang dikira sebagai hak peribadinya dan masalah dalaman UMNO ?

Bagi rakyat biasa, mereka beranggapan tidak akan mendapat apa-apa hasil dengan naik dan turunnya pemimpin kerajaan dalam Barisan Nasional. Malah ada yang mengatakan, impak bergantinya pemimpin kerajaan ibarat rakyat keluar dari mulut buaya lalu masuk ke mulut naga.

Boleh dikatakan kebanyakkan pemimpin UMNO dan BN terpalit dengan tahi. Samada tahi rasuah, perempuan, kronisma, pecah amanah dan sebagainya.

Rakyat Malaysia mengharapkan apa yang telah dinaikkan hasil lonjakan harga petrol dapat diturunkan segera dengan penurunan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa. Sewaktu kenaikkan harganya berada pada paras USD140.00 dan kini sudah menjunam pada USD34.00.

Harga barang-barang makanan, tambang pengangkutan awam, kos perkhidmatan dan sebagainya masih kekal dan seolah-olah ianya satu 'bencana' bagi masyarakat pengguna.

Orang politik yang berpendapatan berpuloh ribu sebulan tidak dapat merasakan keperitan hidup rakyat pertengahan dan miskin. Apa yang Najib Tun Razak dan Abdullah tahu tentang harga bawang, susu, beras, minyak masak dan sebagainya ?

Kehidupan sebagai Melayu bangsawan yang tinggal di mahligai-mahligai sejak kecil lagi, menyukarkan mereka memahami tekanan hidup di Keroh, Baling, Penaga, Gua Musang dan daerah-daerah pedalaman.

Di parlimen kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu, rebat minyak tidak akan diteruskan memandangkan harga bahan itu di pasaran antarabangsa telah turun.

Cekap mereka. Mereka tahu harga minyak sudah turun. Biar rakyat rugi berkali-kali, asalkan kerajaan dan kroni untung sentiasa.

Masyarakat pengguna menuntut agar rebat diberikan kepada mereka dalam pembelian barang-barang keperluan sejajar dengan kegagalan kerajaan menurunkan harga barang-barang tersebut.

Mengharapkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan perubahan adalah ibarat "beralih kain di balik rumah, beralih cakap di balik lidah" - kerajaan yang tidak menepati janji.

Jadinya, masalah peribadi atau dalaman pemimpin dan parti tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti memberikan tempias dan merugikan masyarakat pengguna.
(Gambar:Flickr)

Baca Seterusnya...

Aneh, jika takut dengan pilihan raya

Oleh Abd Shukur Haron

Ketika seluruh dunia, termasuk Malaysia, menghadapi krisis ekonomi yang semakin parah dengan banyaknya syarikat besar dan kecil ditutup, disusul dengan pembuangan pekerja, negara kita berdepan pula dengan suasana politik yang semakin tidak menentu.

Kini krisis perlembagaan yang berlaku di Perak itu kelihatan semakin sukar diselesaikan kecuali dengan mengadakan pilihan raya semula di peringkat negeri, tetapi ini sesuatu yang sama sekali tidak dikehendaki oleh Barisan Nasional.

Ini didorong oleh pelbagai kebinbangan yang menghantuinya di mana dirasakannya peluangnya untuk menang dan menguasai semula negeri Perak sangat sukar. Semua ini berdasarkan keputusan PRU Ke-12 hampir setahun lalu disusuli dengan suhu politik yang semua orang mengetahuinya.

Di tengah itu berlaku pula pilihan raya di Bukit Gantang Perak juga dan di Selambau. Ini semua menambah panas suasana politik di tengah kebimbangan krisis ekonomi yang kian parah.

Rakyat semakin bimbang berapa banyak lagi syarikat besar dan kecil akan ditutup, berapa ramai lagi yang akan dibuang kerja. Bagaimana dengan nasib keluarga pekerja yang dibuang itu. Hutang kereta dan hitang rumah, belanja seharian dapor dan anak bersekolah, harga barang yang mahal dan seperti tidak terkawal. Semuanya ini sangat merunsingkan.

Sementara itu pekerja yang dibuang tidak semudah itu pula untuk mendapatkan kerja lain pada ketika pekerja asing nampaknya masih membanjiri negara ini dan khabarnya mereka enggan pulang ke negara asal. Tentunya ini sangat aneh dan merunsingkan. Pemikiran lojik dan mudah dari segi ekonomi sifir orang kampung ini sesuatu yang sangat menyesakkan nafas.

Dalam suasana sedemikian rupa, kita tiba-tiba dilanda pula kegawatan politik yang tidak putus-putusnya walaupun setekah selesai PRU Ke-12. Semua orang telah mengetahui dengan jelasnya pihak manakah yang mencetuskan kegawatan politik di Perak dan di kawasan lain ini.

Walaupun media perdana banyak menyembunyikan fakta sebenar, tetapi dengan kemajuan pesat dunia siber dan langit terbukanya, rakyat terdedah kepada maklumat alternatif melalui web-site, blog, UTiub, pelbagai web TV. Justru itu mereka telah mengetahui hampir semua maklumat sebenar apa yang berlaku, ditambah dengan maklumat dari akhbar dan majalah alternatif.

Bayangkan betapa besarnya belanja pihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Belanja pasukan polis yang mengawal ketenteraman awam saja berjuta-juta ringgit, belum lagi belanja parti politik mencetak poster, risalah, bendera, spanduk, persiapan mengadakan ceramah besar dan kecil, merayu undi, belanja pemimpin politik yang berkempen dan belanja SPR sendiri untuk mengadakan pilihan raya itu. Semuanya sangat besar jumlahnya.

Namun begitu pilihan raya adalah pra-syarat dalam amalan demokrasi. Sekiranya ada ketakutan untuk mengadakan pilihan raya bagi menyelesaikan krisis politik seperti yang berlaku di Perak sekarang, maka demokrasi tidak dapat ditegakkan, rakyat dinafikan haknya untuk mengundi calon dan parti politik pilihan mereka.

Saya memetik kata-kata pemimpin politik Islam terkenal Indonesia, Almarhum Muhd Natsir bahawa pilihan raya ialah antara pilar demokrasi. “Kiranya pilihan raya tidak ada, demokrasipun berkubur. Yang berdiri di atas kubur demokrai itu ialah yang bernama diktator, dengan bengis menyeringaikan giginya.”

Mari kita berdoa kepada Allah s.w.t. supaya di tanah air kita ini tidak mucul diktator serupa itu. Syaratnya rakyat mesti diberi kesedaran dan keperihatinan akan perlunya demokrasi dan pilihan raya supaya rakyat dapat memilih parti yang benar-benar memenuhi hati nurani rakyat di samping calonnya yang berintegriti.

Selepas pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, kita menghadapi pula dua pilihan raya kecil – di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, belum lagi diramalkan akan diadakan juga di Bukit Lanjan, Selangor. Ini semua adalah ujian demokrasi yang sewajarnya di terima.

Walaupun pilihan kecil di dua tempat itu lebih sebulan lagi dan kempen rasmi belum bermula, namun kita percaya Pakatan Rakyat sudahpun bersiap-siap mengatur strategi. Sudah dapat dibayangkan bagaikana hangatnya kempen itu nanti, mungkin hampir sama dengan di Kuala Terengganu.

Kedua-dua kawasan itu mempunyi majoriti Melayu, walaupun di Bukit Selambau jumlah pengundi bukan Melayu hampir sama banyak. Namun berdasarkan keputusan PRU Ke-12 Mac lalu dan juga di Kuala Terengganu, ternyata pengundi Melayu sudah ramai berubah dengan mengundi Barisan Alternatif, sementara pengundi bukan Melayu majoritinya mengundi Pakatan Rakyat.

Isu perkauman dan isu ‘sembah derhaka’ di dua pilihan raya kecil itu dijangka tidak mampan lagi justru kerana pengundi generasi baru yang terpelajar semakin meningat, ditambah dengan bertambahnya kesedaran pengundi lama maka isu itu tidak lagi releven.

Apabila isu tersebut serta isu projek pembangunan sudah tidak lagi berjaya menjadi umpan BN seperti masa lalu, tentulah pada akhirnya para pengundi mahu melihat kewibaan para calonnya yang bertanding serta parti yang diwakilinya.

Pada asasnya inilah trend baru pengundian dan ini juga kiranya yang akan berlaku di Bukit Gantang dan Selambau nanti. Namun dijangkakan isu kegawatan ekonomi akan juga tersentuh di sana nanti. Ini kerana masaalah krisis ekonomi, pembuangan pekerja dan kenaikan harga barang menyentuh kehidupan semua rakyat.

Rakyat sangat terasa dengan isu tersebut. Ia bukan saja dirasakan kesannya oleh pengundi Melayu tetapi juga bukan Melayu. Dengan itu isu yang berbangkit ini dijangka akan menjadi isu dominan dalam pilihan raya kecil terebut. Yang penting dari segalanya ialah integriti calon yang menjadi ukuran utama dalam pilihan raya tersebut.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau mempunyai makna penting. Sekiranya Pakatan Rakyat mengenengahkan calon berwibawa, Inya-Allah, ia akan mencapai kemenangan, justru kerana suasana yang ada kelihatannya memihak kepada Pakatan Rakyat.

Inilah yang dinamakan demokrasi, memberi peluang kepada rakyat memilih parti dan calon terbaik, yang sesuai dengan hati nurani mereka. Sebab itu adalah aneh jika ada sesiapapun yang enggan menerima pilihan raya sebagai cara terbaik menyelesaikan krisis politik dan perlembahaan. Biarkan rakyat menjadi hakim.

Baca Seterusnya...

Apabila Umno Terlupa "Kidnap" Speaker Perak.

Oleh Mohamad Hanipa Maidin

Seseorang cenderung melakukan kesilapan apabila membuat kerja secara gopoh gapah. Itulah yang berlaku kepada Umno. Kegopohan parti gelojoh tersebut kini meletakkan nyawa “kerajaan haram” BN di Perak seperti nyawa-nyawa ikan.

Semuanya bermula apabila Umno terlupa speaker. Umno hanya menumpukan bagaimana nak “menculik” tiga orang bekas Adun yang melompat dan bagaimana nak mengusir Dato Seri Nizar sebagai MB Pakatan Rakyat ( PR ) tanpa menyedari bahawa orang yang mereka patut “culik” terlebih dahulu adalah Speaker DUN Negeri Perak.

Ada kemungkinan Umno terlepas pandang kepentingan peranan Speaker di dalam rampasan kuasa yang bersifat non military ( bukan ketenteraan ) ini. Rampasan kuasa bersenjata atau secara ketenteraan tidak memerlukan speaker Parlimen atau DUN ditawan. Dalam rampasan kuasa yang melibatkan “penculikan” ahli –ahli ADUN seperti di Perak kegagalan menawan speaker adalah suatu risiko yang besar. Dan kini Umno mula menanggung keperitannya..

Mungkin tidak keterlaluan kalau kita katakan Umno mungkin berpendapat apalah ada sangat pada batang tubuh speaker. Umno mungkin menganggap speaker hanya seperti pengerusi tetap Umno – tiada kuasa yang penting dan substantif..

Kini setelah speaker menggantung Dato’ Dr. Zambry dan enam ADUN BN yang lain untuk tempoh 18 bulan ( untuk Zanbry ) dan 12 bulan ( untuk 6 exco ) barulah Umno mula tercungap-cungap. Zambri terpaksa meminta talian hayat daripada Abdullah Badawi. Abdullah Badawi yang juga tercungap-cungap mencari bantuan tersasul meminta Zambri membuat laporan polis ke atas speaker. Zambri sendiri, saya percaya, agak terkejut dengan saranan Abdullah tersebut. Bagaimanapun memandangkan Umno diajar untuk memberikan ketaatan membuta tuli pada pemimpin mereka saranan tidak masuk akal Abdullah terpaksa juga diikuti Maka 19 laporan polis dibuat ke atas speaker Perak.

Polis yang sudah dibebani dengan masalah jenayah yang menghantui mereka kini dengan tidak semena-mena diminta pula siasat keputusan speaker. Ini mungkin kali pertama berlaku dalam dunia bertamadun polis diminta siasat keputusan seorang speaker DUN. Polis sendiri pun saya percaya bingung kenapakah mereka diminta siasat keputusan speaker. Polis pun maklum bahawa keputusan speaker melibatkan isu Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran. Kalau nak memahami Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah pun polis menghadapi masalah kenapakah Abdullah tambah lagi masalah mereka kini dengan diminta mereka siasat satu kes Perlembagaan.

Zambri pun tahu bahawa polis tidak boleh sama sekali mengganggu speaker dalam hal ini. Berdasarkan undang-undang yang BN gubal sendiri speaker adalah kebal. Polis tidak boleh ganggu termasuk menyoal siasat speaker. Mendakwa jauh sekali.

Kalau Abdulllah ambil masa sikit mendapatkan nasihat dari pakar undang-undang sudah tentu dia tahu bahawa berdasarkan Enakmen Dewan Undangan Negeri ( Hak Istimewa ) 1959 [ Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959 ] dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan jelas kedua-dua undang-undang tersebut memberikan kekebalan secara mutlak kepada speaker dari sebarang prosiding jenayah dan sivil .

Kekebalan speaker dari sebarang prosiding di Mahkamah boleh dikatakan diterima di seluruh dunia termasuk di negara dunia ketiga seperti Papua New Guinea. Untuk Umno saya cadangkan bacalah kes berikut.

Di dalam kes James Eki Mopio v Speaker of Parliament [1977] PNGLR 420 fakta kesnya adalah berkaitan dengan isu pelantikan Mr. Michael Somare sebagai Perdana Menteri Papua New Guinea selepas pilihanraya umum negara tersebut . Pihak Plaintif iaitu. Mr. James Eki Mopio yang juga ahli Parlimen mendakwa Speaker Parlimen telah gagal mematuhi seksyen 142 ( 4 ) Perlembagaan Papua New Guinea.

Mr. Mopio berhujah bahawa seksyen 142 ( 4 ) tersebut memperuntukkan berkaitan penjalanan dewan Parlimen sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil . Beliau mendakwa pelantikan Perdana Menteri hendaklah dibuat sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil dan memandankan speaker Parlimen gagal mematuhi seksyen tersebut maka pelantikan Perdana Menteri adalah tidak sah.

Mahkamah Agung Papua New Guinea yang menolak hujah Mr Mopio tersebut memutuskan bahawa kes ini adalah berkaitan dengan penjalanan urusan Parlimen dan tatacaranya (“ the conduct of the business of the Parliament and its procedure. ) Oleh itu Mahkamah memutuskan memandangkan isu di Mahkamah melibatkan isu sama ada tatacara Parlimen telah dipatuhi atau tidak dan juga isu kebebasan prosiding Parlimen serta fungsi dan peranan Speaker maka Mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendegar kes tersebut.

Zambri nampaknya dah mula sedar bahawa saranan Abdullah untuk beliau membuat laporan polis menyebabkan beliau menjadi bahan ketawa di kalangan masyarakat yang celik undang-undang . Maka beliau kini terpaksa mendapatkan nasihat Peguam Diraja ( QC ) di London. Satu lagi bukti UMNO masih bermentaliti penjajah . Ia juiga satu bukti pembaziran wang yang nyata semata-mata demi mempertahankan kuasa yang dirampas dari orang lain secara haram.

Suatu yang menarik di dalam kes di Perak ini adalah meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan namun speaker DUN Perak masih dikuasai oleh PR. Yang lebih manarik tiada siapa yang boleh memecat speaker hatta Y.M Tuanku Sultan. Ini kerana speaker tidak dilantik oleh Sultan. Ia dilantik oleh DUN. Maka DUN juga sahaja yang diberi kuasa untuk memecat beliau melainkan beliau meletakkan jawatan atau kehilangan kelayakan sebagai seorang ADUN.

Memandangkan speaker tidak hilang jawatan maka kuasanya juga tidak hilang. Kuasanya kekal seperti sebelum Kerajaan PR dirampas secara haram . Apabila Kerajaan PR dirampas secara haram kini speaker pula bertindak balas dengan mengharamkan Zambri dan enam yang lain masuk ke dalam DUN. Tiga ADUN yang melompat sudah awal-awal lagi diharamkan oleh Speaker masuk ke DUN kerana mereka bukan lagi ADUN disebabkan perletakkan jawatan mereka adalah sah di bawah Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak. Kalau pun mereka masih ADUN, tiga mahkluk yang melompat tersebut adalah ADUN SPR .

Jelas kini Umno dah mula terasa bodoh kerana bertindak secara gopoh gapah. Jika Umno boleh jatuhkan Nizar dan Kerajaan PR Perak dengan berselindung di balik Sultan maka tidak mustahil Kerajaan haram BN akan kembali tersungkur dengan kuasa seorang speaker sahaja

Baca Seterusnya...

Rabu, 25 Februari 2009

Politik Kotor Atau Politik Harapan.

Oleh NIK NAZMI NIK AHMAD

“Politik itu kotor” merupakan kenyataan klise. Seringkali kenyataan tersebut dikeluarkan apabila kekecewaan timbul terhadap ahli-ahli politik.

Gelombang perubahan politik negara yang muncul berikutan pilihan raya umum 8 Mac 2008 telah membangkitkan harapan baru rakyat, khususnya di kalangan generasi muda. Selama ini rakyat takutkan perubahan dan sukar membayangkan Malaysia tanpa BN. Tetapi dengan perubahan besar yang terhasil selepas 8 Mac, suasana politik Malaysia tiba-tiba hidup segar.

Malangnya, rakyat Malaysia mutakhir ini mula merasakan politik sudah jatuh ke tahap yang jelek. Politik kolot BN menjadi-jadi. Perampasan Kerajaan Negeri Perak oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi episod kehilangan, tawaran habuan dan tuduhan rasuah; diikuti sikap hipokrit Datuk Seri Khir Toyo dalam isu gambar Elizabeth Wong; dan akhir sekali kenyataan sembrono oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Seri Ahmad Said Hamdan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggambarkan kita sedang melalui tempoh politik yang memeningkan.

Apatah lagi ketika negara menanggung derita berikutan kejatuhan ekonomi dunia yang teramat serius. Sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada pelaburan dan perdagangan antarabangsa, kita tidak dapat lari daripada menerima bahana berikutan kegawatan ini. Pekerja-pekerja sudah mula hilang kerja, peniaga-peniaga mencatat pulangan yang menurun secara ketara dan kerajaan kita sendiri sudah mengakui unjuran pertumbuhan asal ekonomi negara kemungkinan besar tidak boleh dicapai.

Rakyat mahu mengetahui apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, sektor korporat dan pekerja bagi menghadapi menyelematkan pekerjaan mereka. Rakyat mahu mengetahui apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan anak isteri mereka mendapat makanan yang secukupnya setiap hari. Rakyat mahu mengetahui bagaimanakah mereka mahu membayar hutang pada hujung bulan.

Namun Najib tidak fikirkan masalah ini. Yang memenuhi pemikirannya pada masa ini ialah bagaimana mahu menjadi Perdana Menteri dengan apa jua cara sekalipun. Oleh itu, isunya bukan semata-mata memastikan BN menang tetapi memastikan PR hancur musnah. Apa jua cara tetap halal, baginya, asalkan matlamatnya dipenuhi.

Apabila Najib mengisytiharkan kesediaan dirinya bertanding sebagai Presiden Umno pada Oktober 2008, beliau menegaskan bahawa beliau akan meneruskan perubahan bagi memenangi semula pengundi-pengundi yang sudah mual dengan Umno. Namun selepas hampir lima bulan, jelas perubahan bukan keutamaannya. Sebaliknya, badan-badan seperti media massa malah SPRM yang kononnya mahu memperbaiki imej BPR diperkudakan sebagai perkakas BN bagi menjamin masa depan politiknya. Malah, Umno sanggup mengheret institusi beraja bagi membolehkan rampasan kuasa mereka di Perak.

Tetapi Najib tersilap. Walaupun beliau cuba menguasai institusi-institusi utama kerajaan dengan melantik orang-orangnya hari ini, namun akhirnya, rakyat Malaysia dengan izin Allah s.w.t. yang akan menentukan masa depan politiknya. Adakah beliau lupa, bagaimana 8 Mac dapat menjadi realiti meskipun segala institusi kerajaan dikerahkan bagi memastikan kekalahan Keadilan, Pas dan DAP?

Rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, mestilah tidak diperangkap oleh muslihat politik BN. Kejelekan terhadap politik kotor mereka akan diubah oleh perkakas BN agar menjadi sifat bencikan politik secara keseluruhannya. Sebagaimana “Makkal Sakti” — kuasa rakyat — telah merubah lanskap politik negara hampir setahun yang lalu, rakyat jugalah yang berperanan mematikan politik kolot yang terus menjadi sandaran BN. Rakyat, bukannya ahli politik, yang akan memastikan politik harapan yang berpaksikan kedaulatan rakyat akan terus berkembang dan menumbangkan politik kolot di Malaysia.

Generasi muda mesti tegas mendesak bahawa kita mahu politik yang mengangkat martabat insan, bukan politik mengadu domba dan khianat kepada rakyat. Rakyat harus merasakan mereka bukan sekadar penerima sisa-sisa kekayaan negara, tetapi sebaliknya berkongsi kekayaan tersebut secara saksama. Pendekatan Pakatan Rakyat telah terbukti dengan konsep merakyatkan ekonomi yang dilaksanakan bagi berkongsi hasil mahsul negeri Selangor sebagai negeri terkaya di Malaysia. Perak di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat juga telah membawa pendekatan baru dengan pemberian tanah 999 tahun/hak milik kekal, bukan sahaja kepada kampung baru Cina yang sering dimomokkan BN, tetapi juga kepada kampung tersusun dan tradisional yang majoritinya Melayu.

Saya tidak mahu politik harapan ini menjadi monopoli Pakatan Rakyat. Saya pun mahu menumpukan kepada mencari jalan bagi menyelamatkan negara Malaysia dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda sekarang. Saya menyeru kepada pimpinan muda BN agar kita berani berbahas tentang dasar dan idealisme terbaik untuk negara kita. Jika ada perkara yang perlu kerjasama semua pemimpin Malaysia melangkaui batas parti demi masa depan bersama, saya tidak keberatan turut serta. Saya berharap persaingan politik kita terus sihat di dalam kerangka demokrasi berperlembagaan agar rakyat tidak mual dan bosan dengan tahap politik murahan yang menggamit negara pada hari ini.

Politik harapan ini akan memastikan kita dapat mencari kekuatan bagi mengatasi krisis ekonomi yang melanda negara kita. Politik harapan ini akan menegakkan keluhuran perlembagaan kita. Politik harapan ini akan menjamin masa depan anak-anak kita.

Sama ada politik kotor atau harapan, pilihannya di tangan kita rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Baca Seterusnya...

Terharu dengan 'petugas' ber'tshirt' pagoda yang kini seorang MB Perak ~ Ref Malaysiakini

Oleh Tarmizi Md Jam

Walaupun cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran dan ukhwah sesama manusia. Bahkah lebih dari itu, terasa kemesraan dan tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika negara terkejut dengan isu "depa raya".

Rakan saya, yang kini Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.

Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.

Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya dan Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.

Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu, Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpangkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai dan membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.

Sikap bertanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Kampar. Amran juga adalah Setiausaha PAS Kawasan Kampar, waktu itu.

Ketika ummat Islam mahu menyambut hari raya Aidulfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Depavali dan disebut "Depa Raya", sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesyen Petronas Hentian Rehat Tapah.
Ustaz Nasir bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampong.

Waktu itu, tiada satupun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidulfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut hari raya Depavali. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.

Tiba-tiba, beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya, Amran masih mengenal Ustaz Nazir dan berjanji akan menghantar "petugas" ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.

Ketika itu, umat Islam masih berpuasa dan esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang "petugas" terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar dan jenis tayar bagi memudahnya mendapatkan tayar berkenaan.

Kira-kira 30 minit kemudian, "petugas" berkenaan sampai dan membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata dan kelihatan peramah. Barangkali "petugas" itu tinggal tidak jauh dari Tapah.

Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, "petugas" itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu sekitar pekan Tapah.

Dengan menaiki kereta "petugas" itu, mereka menuju Pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Depavali dan esok hari raya Aidulfitri.

"Petugas" itu melurukan keretanya ke arah Pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapak ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar yang dicari-cari.

Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak dan isterinya. Sebaik tiba, "petugas" itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya tshirt pagoda nipis berwarna putih.

Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh "petugas" itu. Kerana katanya, ini sudah jadi tanggungjawab beliau untuk menolong sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.

Amranpun pernah memberitahu perkara itu. "Petugas" itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahupun kenderaan lain.

Peluh jantan mencurah-curah keluar. "Petugas" itu terus gigih memasang semula rim kereta. 'Tshirt' pagodanya sudah lenjun basah. Terik mahatari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga dan tidak bermaya.

Namun, "petugas" itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.
Setelah selesai, dan "petugas" itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula baju kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai sagu hati. "Petugas" itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.
Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab dan tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan "petugas" itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau "petugas" itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jamaah (PAS).

Sambil berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada "petugas" yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada "petugas" itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.

"Ustaz Nazir Zakaria. Oh... Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga," kata "petugas" itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. "Petugas" itu juga turut mengeluarkan kad namanya dan menghulurkan kepada Ustaz Nazir.

"Ini kad ana. Manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana," ujar "petugas" itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.

Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak). Rupa-rupanya, "petugas" itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau. - tmj/mks._

Baca Seterusnya...

Kisah katak dan barua politik

Oleh Rashidi Hassan


POLITIK Malaysia memang hebat. Penuh warna-warni dengan pelbagai konflik, dramatik, sarkastik dan kontradik.

Politik Malaysia sejak akhir-akhir ini sudah memasuki fasa ala barbarian dan kemelut yang berlaku dalam negara, menunjukkan kita sedang menuju ke arah rough politics.

Rakyat sedang dihadapkan dengan tiga kes yang dilakukan secara 'rough' hasil daripada kegelojohan pemimpin Barisan Nasional.

Belum habis rakyat dikejutkan dengan rampasan kuasa di Perak, dibangkitkan pula kes gambar Elizabeth Wong, sekarang dihebohkan pula kes lembu dan kereta Tan Sri Khalid Ibrahim.

BN bukan peduli siapa salah atau siapa betul kerana mereka pun tahu, kes-kes penyelewengan, salahguna kuasa dan salahlaku moral bertimbun-timbun dalam Umno-BN.

Bagi BN, mereka tidak peduli itu semua. Tujuan mereka satu sahaja. BN menggunakan media untuk menanamkan persepsi buruk rakyat terhadap Pakatan Rakyat, bahawa kononnya pemimpin Pakatan Rakyat derhaka, mempunyai salahlaku moral dan melakukan penyelewengan.

Umno-BN beruntung kerana banyak pihak yang membantu. Selain media, propaganda BN memburuk-burukan Pakatan Rakyat dan menanamkan persepsi buruk, dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sanggup menjadi 'barua' atau pencacai upahan.

Sama ada mereka bertaraf mufti, ketua SPRM, ketua polis, ketua hakim, setiausaha kerajaan negeri, pentadbir anak-anak syarikat kerajaan negeri mahupun para editor.

Tiap-tiap hari media pengampu cuba menggambarkan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai golongan 'jahat' sedangkan elemen rough politics yang mengkucar-kacirkan politik negara, wujud dengan bantuan mereka-mereka ini semua.

Bukan main marah mereka jika penulis melabelkan mereka sebagai barua politik, tetapi, salah mereka juga, demi kepentingan tertentu mereka sanggup diperalatkan.

Ungkapan sekasar barua ini, harus ditujukan, sesuai dengan realiti politik negara hari ini. Malah, ungkapan-ungkapan kasar nampaknya sudah menjadi mainan orang-orang politik.

Ahli-ahli Parlimen Malaysia adalah antara penyumbang politik 'ala samseng' dengan pertuturan bahasa yang amat tidak beradab.

Menujukan perkataan 'babi', 'anjing', 'beruk' dan 'bangsat', seperti yang terpacul dari mulut Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, adalah amat tidak wajar samasekali. (Rujuk Penyata Rasmi Parlimen, 19 Februari 2009)

Walaupun beliau sudah menarik balik ungkapan tersebut, namun ia sudah didengari semua yang hadir, malah rakyat yang melayari internet sudah melihat gelagat hodoh beliau.

Lebih hodoh lagi apabila beliau menujukan ungkapan buruk itu terhadap rakan-rakan dari PAS dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

Bukan sekali, banyak kali tindakan Ibrahim, boleh dikatakan dilakukan secara sedar, bercanggah dengan Pakatan Rakyat, walhal beliau bertanding di Pasir Mas, atas ihsan PAS.

Maka tindakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen mesti disokong.

"Ibrahim sudah buat damage yang cukup teruk, kita tidak perlu pedulikan dia lagi," kata MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Dahulu kita boleh tolerate dengan dia, sekarang sudah cukup, beliau sendiri yang mengundang dirinya dihentam," komen MP Kuantan, Fuziah Salleh.

"Saya amat sedih cukup kecewa, pernah bergaul dengan dia, saya rapat kerana dia mewakili PAS dan saya akrab dengan pejuang PAS, tiba-tiba perangai berubah sokong Umno dan mempunyai fikiran sempit.

"Cukup tidak sopan tidak betul, apabila beliau tujukan perkataan yang buruk itu terhadap saya," ujar MP Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Pada kedudukan sekarang, Ibrahim sukar menepis persepsi rakyat bahawa cara berpolitik beliau adalah salah. Sebelum ini pun, beliau penah dilabel sebagai 'katak' dalam arena politik negara akibat kekerapan berpindah parti.

Diakui, tiada siapa yang suka dilabel katak dalam politik, juga tiada siapa yang suka jika diberi gelaran barua orang politik.

Katak dalam istilah politik Malaysia, dirujuk kepada orang yang tidak berprinsip, sering melompat parti atau mengubah pegangan atas sebab-sebab tertentu.

Manakala barua pula dirujuk kepada orang yang membenarkan dirinya dipergunakan, sanggup menggadai maruah demi kepentingan wang, jawatan, projek, saham dan sebagainya.

Dalam ertikata lain, kedua-dua katak dan barua ini menggambarkan betapa hodohnya sifat manusia yang berkepentingan.

Sebagai muhasabah, jika tidak mahu menjadi katak dan barua, tolonglah jangan sesekali membuat tindakan seperti pesalahlaku yang dirujuk dalam catatan ini._

Baca Seterusnya...

Skandal kewangan RM17 juta babitkan Khir Toyo

Oleh Ahmad Tajdid

Setelah menjadi juara dakwaan penyelewengan kuasa membabitkan pengagihan 46 lembu korban dan caj servis kenderaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; mantan Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo kini terpaksa berhadapan skandal membabitkan penerimaan bayaran RM17 juta daripada seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi.

Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi itu diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah.

Apa yang menghairankan, Resolusi Pengarah PNSB bertarikh 14 September 2007 hanya meluluskan pembelian lima unit kediaman berjumlah RM8,352,427.66 sedangkan rekod PNSB menunjukkan sejumlah RM25,603,545 telah dibayar ke akaun individu di Arab Saudi dari 17 September hingga 19 September 2007.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor, 24 Februari lalu, kesemua transaksi dibuat atas nama Mohd Khir selaku Pengerusi PNSB atas alasan Arab Saudi hanya membenarkan hartanah di Makkah dibeli oleh individu muslim.

"Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) berhasrat mendapatkan jawapan terhadap persoalan di atas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika kes ini membabitkan unsur jenayah," kenyataan akhbar itu dipetik.

Sebelum ini dua orang Pegawai PNSB telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan.

Siasatan tersebut berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri.

Abdul Khalid selaku Pengerusi PNSB telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod tersebut.- tajdid_





Baca Seterusnya...

Bersama Pemimpin ? Atau bersama Rakyat

Oleh Nobisha

Majlis Bersama Pemimpin. Atau, Majlis Bersama Rakyat?

Kedua-dua majlis itu sama, atau hampir sama. Ia adalah majlis pertemuan antara wakil rakyat dan penduduk. Apabila disebut Majlis Bersama Pemimpin, fokusnya kepada pemimpin. Apabila disebut Majlis Bersama Rakyat, tumpuannya ialah kepada rakyat.

Mungkin ada yang merasakan tidak ada beza kedua-dua majlis ini. Bagi saya, nama majlis ini menunjukkan cara berfikir penganjurnya.

Saya sendiri lebih suka kalau nama Majlis Bersama Rakyat digunakan. Dengan cara ini, kita meraikan penduduk. Malah, lebih elok lagi kalau wakil rakyat sendiri dapat datang awal ke majlis itu untuk menyambut penduduk. Kalau rakyat dijemput datang pukul 3 petang, wakil rakyat kena datang pukul 2.30 petang. Biar dia yang bersalaman dan mempersilakan penduduk mengambil tempat.

Mungkin ada orang kata, itu tak kena protokol. Protokol apa tu ya?

Sewaktu kempen pilihanraya, calon wakil rakyat boleh masuk rumah pengundi sampai ke dapur. Mengapakah selepas menang, kita mencipta protokol sehingga merenggang wakil rakyat dengan penduduk?

Majlis Bersama Pemimpin memberikan tumpuan kepada wakil rakyat. Ia menunjukkan seolah-olah penduduk kampung yang terhegeh-hegeh hendak bertemu pemimpin. Maka, penganjur pun meminta penduduk untuk datang pukul 2 petang, walaupun program itu akan bermula sejam selepas itu. Maka, menunggulah penduduk sehingga wakil rakyat datang.

Entah apa sibuknya, selalunya wakil rakyat datang lambat. Maka, berpeluh ketiaklah pembawa bunga manggar dan pasukan kompang. Itu Majlis Bersama Pemimpin.

Saya ingat lagi beberapa tahun lalu saya dan teman-teman menganjurkan program Pembangunan Komuniti di sebuah kampung di Kedah. Salah satu acara ialah program membaiki rumah kampung.

Kira-kira setengah jam sebelum seorang menteri dijadualkan tiba, datang sebuah lori JKR. Kelam-kabut mereka menghampar karpet merah dari tempat kereta menteri turun hingga ke rumah penduduk miskin yang akan dibaiki.

Gila, nak baiki rumah pun letak karpet merah!

Maka, saya pun meminta pekerja JKR tu menggulung karpet tu. Kata saya, tak perlu letak karpet merah. Ini program bersama rakyat.

"Tak boleh encik. Ini program menteri," jawab pekerja JKR tu. Saya faham. Dia menjalankan tugas.

Apa pun, saya tak kisah. Ini bukan caranya. Setelah cuba bercakap dengan baik tak membuahkan hasil, akhirnya saya meninggikan suara. Cepat-cepat mereka menggulung karpet merah itu dan memasukkan ke dalam lori.

Beberapa minit selepas lori JKR tu beredar, menteri pun datang. Tak ada bunga manggar. Tak ada kompang. Tak ada karpet merah. Menteri itu pun berjalan di atas jalan batu kerikil. Dia mengambil bahagian dalam gotong-royong seperti penduduk kampung yang lain.

Ada masalah?

Tak ada apa-apa masalah.

Menteri itu marah saya kerana tak hampar karpet merah?

Tak marah.

Kalau begitu, mengapakah setiap kali menganjurkan program "bersama rakyat", kita menyediakan pelbagai keraian untuk menteri atau wakil rakyat?

Saya faham kita perlu menghormati pemimpin. Bagaimanapun, saya fikir ada perbezaan antara menghormati dan mendewa-dewakan pemimpin.

Saya fikir sudah sampai masanya untuk kita melihat semula interaksi antara wakil rakyat dan penduduk. Berikan tumpuan kepada penduduk, bukannya wakil rakyat.

Jawatan wakil rakyat bukan habuan, tetapi beban.

Kalau ada wakil rakyat yang tak sanggup memikul beban, berikan kepada orang lain!

sumber : http://nobisha.blogspot.com/

Baca Seterusnya...

Peduli

Oleh Faisal Tehrani


Saya rasa awak, tidak peduli.

Pada 30 Oktober 1966, PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) telah menganjurkan Seminar Bahasa Kebangsaan. Ekoran itu satu rapat umum mencabar kejujuran Tunku Abdul Rahman melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pemerintahan beliau telah dianjurkan.

Awak pedulikah agaknya yang bahasa Melayu telah menjadi alat perhubungan dan pengucapan bermakna sejak zaman Kesultanan Melayu lagi. Francois Valentyn mencatitkan dalam bukunya Aud en Nieuw II Del V bahawa pada akhir abad 17 dan abad ke 18, bahasa Melayu adalah bahasa yang paling bermartabat di seluruh kota pelabuhan di kepulauan Melayu. Jika seseorang tidak mengetahui bahasa Melayu seolah-olah dia tidak mengerti apa-apa pun.

Ya, tapi awak Melayu memang selalu berasa diri kecil, awak berasa dengan mengucapkan bahasa Inggeris misalnya, awak lebih berdarjat. Awak, tidak peduli. Awak akan buat pelbagai alasan untuk mengenepikan lidah bahasa bangsa.

Bahasa Melayu telah mendapat perhatian luar biasa seawal tahun 1522. Ini bukan fakta main-main. Antonio Pigafetta, seorang pelayar berbangsa Itali dari Vicenta telah menyusun sebuah kamus kecil hasil penjelajahannya di laut Melayu selama tiga tahun. Kamus tersebut bernama Vokabell De Quedti Populi Mori. Pigafetta belayar bersama pelaut Barat yang tersohor si Ferdinand Magellan. Tentu, daftar kata Melayu itu hanya berjumlah 400 patah perkataan tetapi ia membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang agung dan perkasa hingga menggiurkan orang Barat.

Catatan Jan Huyghen Van Linechotten yang pernah tinggal di Indonesia antara tahun-tahun 1586 hingga tahun 1592 pula membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan calang dihormati. Umpama yang dibuat untuk mereka yang tidak mengetahui bahasa Melayu pada waktu itu ialah ibarat orang Belanda yang bebal tidak tahu berbahasa Perancis di Eropah.

Duhai agamawan, saya rasa awak tidak peduli bahawa orang Cina memanggil bahasa Melayu sebagai kun lun sementara orang India menggelar bahasa Melayu sebagai dwipantara. Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun. Sejak zaman Seriwijaya lagi kedaulatan bahasa Melayu amat utuh tak digugat sama sekali. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian Seriwijaya zaman abad ketujuh. Ini dirakamkan oleh pendeta Cina I Tsing.

Duhai ustaz dan ustazah yang tdak peduli, Ibnu Batuttah dalam Rihlah Ibnu Batuttah mencatat kesungguhan penghuni Perlak menggunakan bahasa Melayu untuk perkembangan agama Islam. Kedatangan Islam telah mengubah paksi keistimewaan bahasa Melayu dan mengangkatnya ke taraf yang paling wajar. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu. Sekolah-sekolah pengajian agama yang melata di Pattani sehingga membiaknya pesantren di Jawa atau pondok yang bercambahan di Kedah merata santak ke Acheh dengan pembukaan zawiyah demi zawiyah. Islam telah mengangkat bahasa Melayu dari sebuah bahasa pasar di pelabuhan, sebuah bahasa umum yang tiada kepentingan kepada sebuah bahasa yang menyatukan umat dan bahasa yang cermat digunakan sebagai akar hujah falsafah, debat pengajian dan buah fikiran manusia tamadun alam Melayu. Semua itu dikukuhkan dengan perkembangan tulisan Jawi.

Ustaz kita tidak peduli kerana seingat saya, dahulu para ulama dan tokoh bahasa bahu membahu memperjuangkan bahasa Melayu. Tokoh bahasa termasuklah para ulama telah bertungkus lumus menulis kitab dalam bahasa Melayu lantas membantu penyebaran bahasa ini ke seluruh rantau. Kita perlu berterima kasih dengan Syeikh Abdur-Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain al-Faqih Jalaluddin, Syeikh Muhammad Khatib, Mohd Yusoff Kenali, Syeikh Daud bin Abdullah dan ramai lagi kerana menolongkan perkembangan bahasa Melayu.

Awak agaknya tidak peduli, awak tidak tahu sejarah. Jahil. Bahasa Melayu jangan dinafikan kebolehannya untuk menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan kerana sejarah membuktikan tamadun Greek dan Roman dilanda strok mengejutkan setelah kemalapan bahasanya. Juga ingatan bahawa bahasa Sepanyol, Perancis dan Inggeris tersebar jauh kerana penerokaan dan penaklukan Barat.

Awak mungkin ingat-ingat lupa yang satu dasar kebudayaan kebangsaan telah berhasil digubal untuk negara Malaysia dalam tahun 1971. Begitu berhasilnya perjuangan orang dulu, dari Bahasa Melayu kuno yang terdapat pada prasasti bertulisan Pallawa antara abad ketujuh dan sembilan; kedatangan Islam mencambahkan lagi kecemerlangan bahasa Melayu seperti dinukil oleh Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr al-Lahut. Jangan lupa pula Hikayat Raja Pasai yang dipercayai selesai dikarang tahun 1326, ia menunjukkan bahasa Melayu telah diterima pakai sebagai bahasa ilmu dan bahasa medium pendidikan yang gah lagi gagah. Bahasa Melayu telah lama menikmati taraf lingua-franca lama sebelum ketibaan pedagang Arab dan Islam tetapi akidah Islam telah melonjakkan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan tiga kaedah iaitu melalui kegiatan penulisan, menerusi perintah dan sokongan pemerintah atau istana dan melalui penubuhan institusi pendidikan yang mendokong bahasa Melayu seperti langgar, rangkang, madrasah dan sebagainya.

UMNO tidak peduli. Hari ini institusi pendidikan kita di bawah sebuah parti bernama UMNO, yang selepas pilihanraya lalu berhasrat untuk ingin terus relevan dalam kalangan orang Melayu telah meneruskan dan melakukan onar. Mereka khianat terhadap ulama yang mengembangkan bahasa Melayu. Khianat terhadap tok nenek mereka sendiri. Khianat terhadap sejarah bangsa sendiri. Dan bila khianat terhadap sejarah, mereka juga khianat tehadap masa depan bangsa. Kerana tidak ada masa depan yang terpisah dari masa lalu.

Kalian semua tidak peduli kalau kita sebagai sebuah bangsa terlungkup dan karam. Hilang jati diri. Sedang bangsa-bangsa lain kekal mempertahankan bahasa masing-masing. Tulisan Jawi kita telah hilang. Tetapi tulisan Cina dan India kekal dalam dakapan anak bangsanya.

Awak pedulikah, kalau saya katakan kedatangan penjajah secara tersusun telah mencabar kemuliaan bahasa Melayu. Dasar Inggeris sebelum kemerdekaan ialah pecah dan perintah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular dalam sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Bahasa Inggeris dimajukan sebagai bahasa pengantar sekolah elit untuk anak bangsawan. Saya tekankan kalimat ‘bangsawan’. Saya ingin mengingatkan anak-anak bangsawan yang akan memerintah UMNO mulai Mac ini supaya sedar diri. Dan menyeru kalian jangan menafikan usaha dan keringat tokoh seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Mahmud Ahmad, Ahmad Bakhtiar dan Ahmad Murad Nasaruddin selain Pak Sako dan Ahmad Boestamam yang mengimpikan kedaulatan bahasa Melayu. Janganlah kita jahanamkan usul Mohd Ariff Ahmad dalam memorandum Asas 50 kepada kerajaan, memorandum yang dipimpini dan ditandatangani oleh Keris Mas dan Usman Awang. Usahlah kita kembali kepada titik hitam sejarah negara dalam tahun 1969 kerana salah satu faktor kejadian keji itu terjadi ialah kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tokoh-tokoh terdahulu telah melakukan terlalu banyak.

Jangan jahil menjadikan Singapura sebagai contoh, kerana adalah amat tidak wajar kita merujuk sebuah negeri kecil yang masih mencari identiti serta tidak bertemu jati diri.

Tamadun Parsi, India, Mesopotamia, Cina, Jepun malahan tamadun Melayu sendiri berjaya dan telah membuktikan keupayaannya dengan menjadikan paksi keunggulan tamadun menerusi bahasa ibunda sebagai tunjang.

Berhenti tidak peduli. Jangan biar bahasa Melayu pudar dan hilang seperti tulisan Jawi. Jangan. Saya merayu supaya jangan tidak peduli.

Marilah kita peduli.

Bak kata Allahyarham Usman Awang: 'Anak Melayu, namamu telah diseru, jawablah sebelum lidahmu jadi bisu.'

sumber: http://tehranifaisal.blogspot.com/

Baca Seterusnya...

Selasa, 24 Februari 2009

Jejak sumbang orang politik

Oleh Kamal Amir

KALUT, kelam kabut dan amat bercempera sekali situasi politik di seluruh negara sejak kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan di Perak dalam situasi yang begitu bergelodak serta berkecamuk.

Belum selesai kisah tumbangnya sebuah kerajaan negeri yang sebegitu rapuh serta diganti pula oleh kerajaan baru (juga amat rapuh) tiba-tiba Speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengambil tindakkan menggantung Menteri Besar yang baru berserta enam orang exconya

Rakyat jadi bingung, masyarakat antarabangsa pasti mentertawakan situasi sebegitu merencam dalam senario politik yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Tambah menjadi gawat apabila saban hari media melaporkan pelbagai episod saman menyaman kalangan orang politik di mahkamah.

Persoalannya apakah sepanjang tahun 2009 ini setiap hakim perlu mengadili kes orang politik sahaja dan mengenepikan perbicaraan jenayah lain? Jika begitulah natijahnya ini bererti mereka yang ditahan di bilik kurungan harus terus menanti dan menanti perbicaraan kes mereka.

Di Sabah ada kes wakil rakyat yang dikatakan tidak sah memenangi pilihanraya umum lalu. Di Kedah sudah “terjojol” pula cerita Adun Kulim yang sedang dalam siasatan badan pencegah rasuah. Di Perak tentulah cukup kalut apabila Datuk Nizar mengemukakan saman terhadap Datuk Zambery Abdul Kadir kerana merasakan jawatan Menteri Besar telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu dua orang mantan exco kerajaan Pakatan Rakyat yang mengambil keputusan keluar dari parti Keadilan menyertai Barisan Nasional masih tercungap-cungkap mencari upaya agar kes rasuah yang “terlekap” dan terpalit keatas bataang tubuh mereka dapat segera dilangsaikan. Mungkin ada janji yang belus dapat dibereskan.

Malahan seminggu selepas menyertai gagasan Barisan Nasional kes kedua mereka tetap diteruskan sehingga mengakibatkan mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap kerana kedua – dua mereka gagal menghadirkan diri di mahkamah.

Dua hari selepas itu Speaker Dewan Undangan Negeri Perak turut difailkan kesnya di mahkamah atas beberapa alasan yang keseluruhanya menjurus kepada pertikaian persoalan perlembagaan serta pentafsiran yang cukup kompleks.

Sesungguhnya rakyat yang dibelit oleh kemelut kehidupan sukar kesan krisis ekonomi dunia bagaikan terabai masa depan mereka apabila pemimpin terus bergelut dalam percaturan politik yang tiada nampak noktahnya.

Belum lega dengan krisis perlembagaan di Perak, tiba-tiba Selangor yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat turut terdedah dengan isu saman menyaman antara Menteri Besar Tan Sri Khalid dengan calon Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khir Toyo yang juga sedang menghadapi kes melakukan demonstrasi haram di Pualau Pinang.

Tidak cukup dengan kegawatan tersebut, Ketua Pengarah BPR pula secara tiba-tiba mengumumkan siasatan ekspress terhadap Tan Sri Khalid berhubung penyalahgunaan kuasa menyelengara kereta peribadinya serta kes sepuluh ekor lembu korban telahpun selesai serta ada kes untuk dihadapkan ke mahkamah.

Dua tiga hari sebelum itu timbul kisah cek mek molek Elizabeth Wong Adun Bukit Lanjan telah “ditelanjangkan” oleh penyebar sms serta internet hingga membawa kepada kemungkinan berlakunya pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Selangor.

Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telahpun mengemukakan saman terhadap Peguam negara dan polis berhubung kes “mata lebamnya” yang masih terus menghantui rakyat kesan kerakusan pemimpin untuk terus berada di anjung kuasa.

Pengerusi DAP pula terus dengan sensasi yang pernah dilakukan dua puluh tahun dahulu mahu mengheret Sultan Perak ke muka pengadilan hingga meletakkan rakyat berada dalam situasi resah berpanjangan.

Sesungguhnya situasi rencam dan lenjan dalam senario politik tanah air masakini merupakan situasi cukup terburuk dan amat menjengkelkan. Rakyat yang mengharapkan dapat berteduh serta berpayung dibawah konsep demokrasi berperlembangaan kini merasakan diri mereka amat terbiar kesan percaturan yang tidak diketahui bilakah akan berakhirnya sandiwara mereka yang matlamatnya memburu kuasa..... hampeh dan sungguh menghampehkan.

Sampai bila rakyat harus mengizinkan situasi sebegini? Pilihanraya umum telah pun berlalu lebih setengah tahun lamanya, namun sejak Barisan Nasional memperolehi kuasa mentadbir negara ekonomi rakyat semakin sulit jadinya. Barang mencanak tanpa mampu di kawal. Harga barangan yang dihasilkan rakyat seperti getah dan kelapa sawit merudum dan lebur.

Pakej rangsangan ekonomi yang dipunggah dari khazanah negara sejumlah 7 billion ringit entah kemana lesapnya dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib masih meneruskan hasratnya pertengahan Mac akan datang untuk membentangkan mini bajet yang tentunya bakal mencedok lagi sejumlah billion ringgit dari kantung negara.

Sejumlah lima billion ringgit yang telah dicekup untuk merangsang pasaran saham melalui syarikat Value Cap seperti yang diumumkan olehnya hujung tahun lalu tidak sedikitpun menampakkan hasilnya kerana pada setiap hari pasaran saham didagangkan atau diapungkan di Bursa Kuala Lumpur situasinya tetap “terhencut-hencut” dan ada kalanya tersemban tidak bermaya.

Dari sejumlah lebih satu ribu kaunter yang didagangkan di bursa hampir separuh tidak diniagakan (terkontang kanting) sementara kaunter-kaunter tertentu sahaja berterusan naik turun bagiakan perminan yo-yo.

Kepada mereka yang bernama pemimpin, apakah masih belum sedar lagi tentang meruapnya darah rakyat melihat klebobrokkan dan sandiwara pincang yang ditonjolkan sejak dua tiga bulan kebelakangan ini? Apakah anda semua masih belum insaf bagaimana deritanya masyarakat petani, buruh dan para nelayan yang setiap hari dilambung ombak sengsara?

Berapa puluh ribu kakitangan syarikat swasta yang telah lebur masa depan mereka kesan diberhentikan oleh syarikat yang tidak lagi bersedia untuk beroperasi. Bagiamana pula dengan para siswazah yang semakin tepu menjadi penganggur terhormat?

Sampai bila rakyat harus dibungkus dan diulit kehidupan sebegini payah? Anda semua yang bergelar Menteri punya gaji besar dan banyak projek yang boleh ditelan atau disamun untuk dibawa pulang hasilnya bagi mengisi tembolok anak isteri di rumah. Bagiamana dengan rakyat marhain? Bangsat sungguh percaturan politik anda semua yang berada di anjung kuasa. Saban hari anda mempermainkan hati dan terus menjeruk perasaan rakyat.

Cukup-cukuplah berpolitik, musim pilihanraya telahpun selesai, rakyat telahpun memberi kepercayaan kepada mereka yang berkesempatan bergelar wakil rakyat atau menteri. Apa yang rakyat perlukan adalah pembelaan. Bosan rakyat melihat mahkamah dijadikan medan percaturan politik. Jangan sampai akhirnya rakyat hilang percaya terhadap sistem demokrasi.....!!! fikir-fikirkanlah.

Baca Seterusnya...

Pengikut

Recent Visitors

PERHATIAN : Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP